Liga A1: PIB Shah Alam Pastikan BR Damansara Tewas Buat Kali Pertama
MakanBola
PIB Shah Alam

PIB Shah Alam kembali meraih kemenangan dalam saingan Liga A1 Semi Pro selepas cemerlang mengejutkan tuan rumah, Bunga Raya Damansara FC di Stadium UITM Shah Alam pada Ahad.

Kedua-dua pasukan menurunkan barisan terbaik dengan Bunga Raya menurunkan R. Kogileswaran dan Sunil Chandran sebagai pemain penting mereka manakala PIB pula menurunkan penyerang berpengalaman, Ferris Danial.

Ad

Perlawanan dimulakan dengan PIB dilihat lebih mendominasi permainan dan melakukan beberapa percubaan untuk mencari jaringan awal.

Ad

Bunga Raya kelihatan sedang bergelut untuk bermain hantaran pendek selepas ditekan dengan pantas pemain PIB.

Hasil penguasaan yang dipamerkan PIB, mereka berjaya di hadapan melalui penyudah Amir Hafiz pada minit ke-11 selepas situasi kelam kabut di hadapan gol.

Ad

Mendahului satu jaringan, PIB meneruskan corak permainan dan menekan kawalan bola daripada pemain BR Damansara.

Ad

Pada minit ke-32, PIB melebarkan kedudukan menjadi 2-0 selepas pemain sayap lincah, Mustakim Mustapha meledak melalui rembatan dan membias kepada pertahanan BR Damansara.

Ad

Bermula pada jaringan kedua PIB itu, BR Damansara mula mendapatkan rentak melalui beberapa pergerakan merbahaya terutamanya daripada Sunil Chandran di sayap kanan.

Hasrat BR Damansara untuk merapatkan kedudukan akhirnya berjaya apabila pemain import, Ignacio Sequeira menjaringkan gol pada minit ke-37 selepas menyambar hantaran Sunil Chandran.

Kedudukan 2-1 itu kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, BR Damansara menggandakan asakan bagi memburu jaringan kedua untuk menyamakan kedudukan.

Pertahanan PIB yang diketuai Amir Hafiz mempamerkan kecemerlangan apabila acap kali berjaya mengekang serangan dari BR Damansara.

Tiada tambahan jaringan dapat dihasilkan pada separuh masa kedua dan sekali gus menamatkan perlawanan dengan keputusan 2-1 memihak PIB Shah Alam.

Ini merupakan kekalahan pertama buat BR Damansara bagi saingan Liga A1 musim ini dan kemenangan kelima buat PIB Shah Alam musim ini.