Advertisement
Liga Indonesia Terima Sentuhan Watak Penting Dari Jepun
Asia Tenggara
MakanBola
ASEAN Football

Aksi Liga 1 Indonesia minggu ini bakal diserikan dengan kehadiran dua pengadil J1 League.

Dua pengadil Jepun iaitu Yusuke Araki dan Futoshi Nakamura masing-masing diberi amanah untuk mengendalikan perlawanan Persita-Persikabo dan Persib-Persik.

Perkara ini disahkan oleh Ahli Jawatankuasa Pengadil Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI), Jimmy Napitupulu.

Beliau melihat kehadiran dua pengadil terkemuka J1 League ini mampu meningkatkan kualiti pengadilan Liga 1. Selain itu, ini akan mendorong pengadil-pengadil tempatan untuk belajar dan menambahbaik kualiti pengadilan mereka.

“Info itu benar. Kebetulan Referee Chairman kami kan dari Jepang, Mr. Yoshimi Ogawa, jadi supaya ada penyegaran dan penambah spirit wasit-wasit Liga Indonesia.

“Kebetulan J-League lagi off pekan ini, jadi kami minta wasit mereka ikut memimpin di Liga 1,” katanya kepada portal Kumparan hari ini.

Barisan pemain Persita dan Persikabo bertuah kerana Araki merupakan antara pengadil terbaik dalam saingan J1 League.

Justeru, Jimmy percaya ini secara tidak langsung bakal meningkatkan lagi kualiti perlawanan hari ini. “Ya betul, Yusuke Araki, wasit terbaik di J-League,” tambahnya.

Setakat artikel ini ditulis, Persita sedang mendahului Persikabo 1-0. Sementara Persib yang dibimbing Bojan Hodak pula masih seri tanpa jaringan dengan Persik.