Liga Malaysia : 5 Pasukan Yang ‘Bungkus’ Kerana Masalah Kewangan
Liga Super
Advertisements

Perkara pertama yang menjengah pemikiran apabila melihat isu tunggakan gaji yang berlaku dalam Liga Malaysia, adalah sejauh mana kesediaan setiap pasukan terutamanya dari segi kewangan untuk bersaing di musim baru nanti.

Kesedaran kebanyakan pasukan mengenai perkara ini nampak seperti masih terlalu rendah walaupun saban tahun kita dimomokkan dengan pelbagai isu yang berkaitan kewangan.

Ditambah pula saingan musim 2023 akan membabitkan format baru 18 pasukan di Liga Super, sudah tentunya ia satu cabaran besar buat kesemua pasukan untuk mempersiapkan diri dengan kewangan lebih kukuh dan meyakinkan.

Advertisements

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan badan pengelola pertandingan Malaysia Football League (MFL) juga perlu tegas menguatkuasakan peraturan jika tidak mahu beberapa tragedi hitam yang berlaku kepada pasukan seperti Perlis dan Kuantan FA berulang.

Sudah tentunya banyak pengajaran dan teladan boleh diambil daripada nasib malang menimpa dua pasukan itu yang dibatalkan penyertaan dari bermain di Liga Malaysia berikutan masalah kewangan kritikal.

Malah kedua-duanya dibubarkan terus dan kini tinggal hanya nama sahaja.

Advertisements

Malah sebelum ini dalam Liga Malaysia, sudah ada banyak kes lampau pasukan bergelut menangani masalah kewangan namun bezanya mereka membuat keputusan menarik diri lebih awal agar tidak menimbulkan konflik di kemudian hari.  

Berikut kami senaraikan antara lima kelab yang telah mewarnai Liga-M, tetapi akhirnya terpaksa ditutup operasinya kerana masalah kewangan.

Real Mulia FC

Pasukan ini ditubuhkan untuk mengambil bahagian dalam saingan Piala FAM 2015 dan mensasarkan untuk mencipta nama sebagai sebuah pasukan yang berjaya dalam arena bolasepak tempatan dengan bermula daripada bawah tetapi bertahan hanya semusim.

Advertisements

Dengan bajet melebihi RM3 juta pada musim pertama ditubuhkan, Real Mulia adalah salah sebuah pasukan Piala FAM paling mewah ketika itu selain Felcra FC dan Air Asia FC.

Mereka telah merekrut antara nama besar dalam bolasepak tempatan seperti Syamsuri Mustafa, Shahril Faizal Sharifudin, Khairan Ezuan Razali, Zulkifli Effendi Zakri, Wan Alif Jasmi dan ramai lagi untuk memperkuatkan pasukan manakala Yunus Alif yang membawa Pahang menjuarai edisi pertama Liga Super dilantik sebagai ketua jurulatih.

Bekas bintang Johor dan Selangor, Alistair Edwards (kini Pengarah Teknikal JDT) dilantik sebagai Pengarah Teknikal dan menjadi penerima gaji tertinggi kelab dengan bayaran melebihi RM40,000.

Advertisements

Setelah menunjukkan potensi yang baik di awal musim, prestasi pasukan ini mula merudum ketika saingan menuju ke penghujung menyebabkan mereka terlepas tiket ke Liga Premier setelah menamatkan cabaran di tempat kedua di belakang Perlis.

Mereka sudahpun memulakan persiapan untuk musim 2016 tetapi ianya difahamkan kegagalan pasukan ini yang ditubuhkan oleh kerabat diraja Pahang untuk mendapatkan suntikan kewangan dari pihak istana merupakan sebab yang membawa operasi mereka berkubur sepantas populariti yang mereka raih.

Satu-satunya perkara positif Real Mulia ditutup tanpa ada masalah tunggakan gaji malah pemain dan pegawai dibayar pampasan.

DRB-Hicom

Keputusan DRB Hicom menarik diri dari Liga-M 2017 pada awalnya dilihat sebagai kejutan kerana mereka dilaporkan antara kelab yang telah menguruskan pasukan dengan professional dan tiada mengalami masalah dalaman mahupun sebarang isu berhubung pembayaran gaji.

Tetapi difahamkan ia adalah satu tindakan yang diambil selari dengan tuntutan ekonomi semasa dan memfokuskan kewangan pasukan ini ke arah pelaburan dan perniagaan.

Pasukan yang berpangkalan di Stadium Proton, Tanjung Malim itu sebelum ini dikenali sebagai Pos Malaysia FC selepas ditubuhkan pada Mac 2008 dan mereka menjuarai saingan Liga FAM pada musim berikutnya sebelum dijenamakan semula sebagai DRB-Hicom FC pada 2014.

Antara jurulatih yang pernah membimbing pasukan ini adalah Mat Zan Mat Aris, G. Torairaju dan Chong Yee Fatt manakala pemain-pemain yang pernah menyarung jersi mereka termasuklah Khairul Zal Azmi, Fakhrul Aiman Sidid, Izuan Salahudin, Saufi Ibrahim dan M.Yoganathan.

Walaupun telah menarik diri dari kancah bolasepak professional pasukan DRB Hicom masih aktif bermain dalam saingan Liga Bolasepak Kuala Lumpur dengan bajet yang lebih kecil.

Mereka adalah satu daripada tiga kelab tempatan yang mempunyai stadium sendiri di Tanjung Malim selain Felda United dan juga Johor Darul Takzim, malah mereka pernah turut menyuarakan perancangan untuk memajukan kelab itu sebagai satu jenama dalam kalangan penduduk daerah Tanjung Malim.

Sime Darby FC

Sime Darby kembali mengesahkan tiket beraksi di Liga Premier apabila skuad dibimbing Ahmad Yusoff menutup musim 2017 dengan cukup cemerlang dengan menjuarai Piala FAM, menewaskan UKM FC.

Tetapi hasrat menyaksikan kelibat pasukan digelar ‘the giant-killers’ itu tidak kesampaian apabila mereka memilih mengucapkan selamat tinggal dengan kos pengurusan pasukan yang meningkat dilaporkan sebagai punca utama.

Pasukan itu telah mewarnai bolasepak Malaysia sejak 2010 dan mula mencipta nama setelah muncul juara Piala FAM tahun tersebut sebelum layak beraksi dalam saingan Liga Premier selama tiga tahun dari 2011-2013.

Sime Darby beraksi dalam Liga Super selama dua musim dari 2014-2015 sebelum tersingkir ke Liga Premier pada 2016.

Antara pencapaian paling membanggakan pasukan ini adalah mara ke final Piala FA pada 2012 yang mana mereka kecundang 0-1 hasil jaringan tunggal Mohamed Ghaddar. Mereka juga turut pernah dinobatkan sebagai kelab bola sepak terbaik pada majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan pada tahun yang sama.

KL Plus FC

KL Plus antara pasukan kelab yang popular sekitar sedekad lalu dengan menghimpunkan ramai pemain-pemain yang mempunyai nama dalam arena bolasepak tempatan.

Antaranya Irwan Fadzli Idrus, Bobby Gonzales, Fadzli Shaari, Norhafiz Zamani Misbah, Nizarudin Yusoff, Nazrulerwan Makmor, Nazrin Nawi , Abdul Aziz Ismail dan ramai lagi pemain bintang. Jangan terkejut bintang JDT, Safiq Rahim juga mula mencipta nama adalah bersama pasukan ini.

Kelab ini ditubuhkan oleh syarikat konsesi tol Malaysia dan bermula dengan bermain di Liga KLFA pada 2000 sebelum beraksi di Piala FAM pada 2006. Kejayaan mara ke separuh akhir Piala FAM menghadiahkan mereka tiket bermain di Liga Perdana 2007.

Mereka mendapatkan khidmat Mat Zan Mat Aris sebagai jurulatih pada 2008 dan layak ke Liga Super 2009 setelah muncul naib juara Liga Premier.

Di sebalik beberapa pencapaian membanggakan dan adanya kelibat ramai pemain bintang, KL Plus gagal membentuk sebuah ‘fanbase’ yang kuat dan ia membawa impak ke pada survival mereka. Setelah dua musim, KL PLUS akhirnya mengambil keputusan menarik diri dan tempat mereka dalam Liga Super 2011 digantikan oleh Harimau Muda.

Selangor MPPJ

Sebelum wujudnya Johor Darul Takzim, pasukan Selangor MPPJ adalah satu-satunya pasukan kelab yang pernah menjulang Piala Malaysia.

Selepas kejayaan bersejarah menjulang Piala Malaysia pada 2003, ia membawa kepada pelaburan yang lebih tinggi dan mula berbelanja dengan boros untuk mendapatkan pemain-pemain berkualiti dan berstatus pemain kebangsaan, sehingga digelar ‘Chelsea Malaysia’.

Mereka bagaimanapun bergelut untuk menyesuaikan diri bermain di Liga Super dan keadaan diburukkan dengan kehilangan beberapa pemain utama, masalah pembayaran gaji, bonus dan hutang-hutang lain.

Ia lantas membawa kepada keputusan memotong dana kelab dibuat dan survival tidak dapat diteruskan. Pasukan ini dibubarkan setelah mereka gagal mendapatkan dana yang cukup bagi mendaftarkan pasukan untuk bertanding di Liga Malaysia pada 2007.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram