Satu demi satu pasukan menarik diri daripada Liga Super 2023, menyaksikan saingan yang sepatutnya berformat 18 pasukan, mungkin akan diteruskan dengan 14 pasukan sahaja.
Bermula dengan kegagalan Melaka United dan Sarawak United mendapat lesen, kemudiannya PJ City menarik diri dan terbaru Uitm FC juga berbuat demikian baru-baru ini.
Ini bermakna, akan berlaku penambahan dua pasukan sahaja dalam saingan Liga Super yang telahpun berlangsung membabitkan 12 pasukan sejak 2013.
Bagi Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Football League (MFL), Stuart Ramalingam, walaupun penstrukturan semula liga kepada 18 pasukan tidak menjadi kenyataan, ia bukanlah cerminan kegagalan sebaliknya perlu dipandang dari sudut positif.
“Kami tidak rasa situasi ini adalah perkara negatif sebaliknya antara proses untuk menstabilkan liga untuk pastikan kekuatan liga kita adalah berasaskan pasukan yang bertanding.
“Walaupun Liga Super mungkin dianjurkan dengan 14 pasukan sahaja tapi kami dalam proses memastikan format Liga Super pada tahun ini diterima dengan baik,” kata Stuart.
Sebelum ini ada ura-ura mengatakan PJ City akan kembali beraksi di bawah pemilik baru namun Stuart memberi gambaran bahawa pengambilalihan kelab itu oleh berkemungkinan besar tidak menjadi kenyataan.
“Proses pengambilalihan PJ City sudah bermula sebulan yang lalu tapi bagi proses dalaman (di pihak) MFL adalah perlu diperincikan kerana kami mahu mengelak sebarang isu berbangkit pada musim depan.
“MFL bukan hanya melihat individu terbabit mampu membeli PJ City semata-mata namun beliau juga perlu mempunyai perancangan untuk pasukan pada musim 2023 selain turut mempunyai struktur kewangan kukuh kerana Liga Super boleh dikatakan cukup mencabar,” tambah Stuart.
Setakat ini 14 pasukan yang telahpun mengesahkan penyertaan adalah juara bertahan JDT, Terengganu, Sabah, Selangor, KL City, Kedah Darul Aman, Penang, Sri Pahang, Negeri Sembilan, Perak, Kelantan, Kelantan United, Kuching City dan PDRM.