Hari perlawanan minggu ke-13 menyaksikan aksi PDRM FC dan Selangor FC merekodkan kehadiran tertinggi.
Dengan Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) tidak beraksi pada minggu ini, aksi ini dilihat peluang buat Merah Kuning merapatkan jurang mata dengan pendahulu liga itu.
Aksi yang berlangsung pada 19 Oktober lalu menyaksikan Selangor pada awalnya mendahului menerusi Alvin Fortes. 4,971 orang penyokong di Stadium Selayang menjadi saksi apabila Aremu Timothy meledakkan gol penyamaan pada minit akhir perlawanan.
Angka ini merupakan angka kehadiran kedua teramai yang direkodkan di Stadium Selayang selepas aksi PDRM-JDT pada 31 Julai lalu.
3,281 orang yang hadir di Stadium Darul Aman pada 19 Oktober lepas puas apabila Kedah Darul Aman FC (KDA FC) menewaskan Terengganu FC. Angka ini merupakan yang kedua tertinggi untuk aksi minggu ke-13.
Kemenangan ini bukan saja kemenangan keempat Kedah dalam liga musim 2024/25. Kemenangan ini turut mengakhiri penantian kemenangan Sang Kenari sejak 12 Julai lalu.
Aksi Perak FC dan Sabah FC di Stadium Manjung mencatat kehadiran ketiga tertinggi iaitu seramai 2,531 orang. Angka ini disifatkan baik kerana ini kali pertama Perak beraksi di stadium itu untuk baki kempen musim 2024/25.
Meskipun beraksi di Manjung pada sebelah petang, The Bos Gaurus memberi tentangan sengit kepada Sabah sebelum tewas dengan keputusan 4-2.
Dua aksi liga yang merekodkan kehadiran melebihi seribu orang ialah aksi Penang FC-Sri Pahang FC dan Kuching City FC-Negeri Sembilan FC. Kedua-dua aksi itu masing-masing merekodkan kehadiran 1,337 orang dan 1,104 orang.
Penang dan Kuching City mengalami nasib berbeza dalam dua aksi berkenaan. Penang tewas tipis 1-0 kepada Tok Gajah dengan The Cats pula diikat Negeri Sembilan 1-1.
Aksi Kelantan Darul Naim FC (KDN FC)-KL City FC merekodkan kehadiran terendah untuk aksi minggu ke-13 iaitu seramai 818 orang. Meskipun beraksi di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, Kelantan DN diklasifikasi sebagai tuan rumah.
Aksi pada 18 Oktober itu menyaksikan KL City bangkit dari ketinggalan sebelum menewaskan Sang Kijang Emas 3-1.
Selepas ini, saingan liga bakal diteruskan dengan aksi minggu ke-14. Aksi minggu ke-14 bakal berlangsung pada 25, 26 dan 27 Oktober ini.