Saingan Liga Super musim 2023 dijangka bakal menguntungkan pasukan-pasukan yang bertanding. Ini selepas MFL menjangkakan mereka akan mendapat nilai tajaan yang lebih tinggi berbanding tahun 2022.
Sebelum ini, pada 2021, MFL mengumumkan menerima tajaan sekitar RM33.4 juta termasuk hak penyiaran semua perlawanan pasukan Liga Malaysia. Walaupun nilai terbaru masih tidak didedahkan, ia dijangka bakal mengatasi angka penajaan yang diterima sebelum ini.
CEO MFL, Stuart Ramalingam berpandangan peningkatan nilai tajaan berlaku disebabkan dua faktor iaitu perubahan struktur liga dan tarikan pasukan-pasukan yang bertanding.
Dengan melihat situasi semasa, beliau percaya lebih ramai rakan korporat akan tampil dan menjadi rakan penaja liga musim ini. Ini sekaligus bakal memeriahkan perjalanan liga musim 2023.
“Saya amat yakin dengan minat yang ditunjukkan oleh syarikat korporat pada musim 2023. Hal ini kerana pada musim 2022 juga sudah menunjukkan impak positif membabitkan penajaan.
“Jika melihatkan kepada kepada penajaan musim 2022, MFL berjaya mendapatkan sembilan syarikat korporat untuk menaja saingan liga.
“Oleh itu, saya yakin musim 2023 jumlahnya akan lebih tinggi dan perkara itu akan diumumkan dalam waktu terdekat ini,” katanya.
Angka tersebut dijangka bakal mengubah nilai hadiah kemenangan untuk pemenang liga. Ketika ini, pemenang Liga Super bakal membawa hadiah kemenangan berjumlah RM1 juta.
Selain itu, ini juga akan mendorong pasukan-pasukan berbelanja besar bagi memantapkan kesebelasan utama mereka. Difahamkan, nilai keseluruhan perbelanjaan pasukan-pasukan Liga Super musim ini ialah RM200 juta termasuk untuk awang import baru.