Liga Super: Gol Dramatik Melaka Kecewakan Negeri Sembilan
MakanBola
MFL

Melaka FC menewaskan Negeri Sembilan 2-1 di Stadium Hang Jebat menerusi gol lewat Christian, dalam aksi yang menyaksikan skuad Hobin Jang Hobin beraksi dengan 10 pemain.

Negeri Sembilan dan Melaka FC masing-masing mengintai kemenangan pertama musim ini, dengan skuad Hobin Jang Hobin bakal turun buat kali pertama dalam aksi rasmi selepas perlawanan sebelum ini ditangguhkan, sementara Melaka FC mahu menebus kekalahan 0-3 kepada Terengganu.

Tiga pemain kebangsaan menjadi antara sandaran utama Negeri Sembilan apabila Azri Ghani, Khuzaimi Piee dan Akhyar Rashid disenaraikan dalam kesebelasan utama.

Di kem Melaka FC, pengalaman Khairul Fahmi Che Mat menjadi sandaran di gawang, sementara penyerang import Kpah Sherman diberi tanggungjawab mengetuai jentera serangan.

Skuad Hobin Jang Hobin mengawal permainan, namun Melaka FC lebih mengancam menerusi percubaan-percubaan yang dilancarkan ke arah gawang lawan.

Skuad Hobin Jang Hobin membuka tirai jaringan pada minit ke-20 menerusi penyerang import dari Jepun, Yusuke Minagawa, yang menyudahkan hantaran tepat rakan senegaranya, Mio Tsuneyasu, selepas gelecekan bijak pemain itu.

Melaka FC kembali mengikat kedudukan pada minit ke-33 selepas Noel Agbre menanduk masuk hantaran silang daripada sepakan sudut yang diambil Do Dong Hyun.

Percubaan berbahaya Akhyar Rasyid menutup separuh masa pertama, dengan kedua-dua pasukan terikat 1-1 di Stadium Hang Jebat ketika rehat.

Sebaik babak kedua bermula, Negeri Sembilan menerima tamparan hebat pada minit ke-52 apabila kapten, Khuzaimi Piee, diperintah keluar selepas menerima kad kuning kedua kerana mengasari Kpah Sherman ketika cuba menyekat larian penyerang import itu.

Kehilangan Khuzaimi Piee menyaksikan Daniel Gimenez bertindak melakukan perubahan taktikal pada minit ke-56 dengan menurunkan Wai Lin Aung dan Kei Oshiro.

Gol kemenangan Melaka FC hadir pada minit kecederaan apabila penyerang import, Christian, menyudahkan hantaran Kpah Sherman selepas bijak mencari ruang di dalam kawasan penalti Negeri Sembilan untuk menjadikan kedudukan 2-1.

Tamat aksi di Stadium Hang Jebat dengan keputusan 2-1, Melaka menang ke atas Negeri Sembilan.

Selepas ini, Negeri Sembilan bakal menentang kelab Wan Tendong Stable, manakala Melaka FC pula dijadualkan berdepan Penang dalam saingan Piala FA pusingan ke-16 pada 2 September.