Perak FC terpaksa akur tewas besar kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi Liga Super yang dilangsungkan di Stadium Sultan Ibrahim sebentar tadi.
Perlawanan tertunda ini menyaksikan JDT di bawah kendalian Hector Bidoglio menggandingkan Bergson dan Romel Morales di bahagian hadapan manakala Perak pula menurunkan Clayton da Silva selaku penyerang tunggal.
Perlawanan dimulakan pada minit ke-3 dan JDT menampilkan aksi penguasaan bola yang menyeluruh sekali gus memaksa pemain Perak bertahan.
JDT akhirnya di hadapan pada minit ke-20 menerusi penyudah Romel Morales yang menyambar bola muntah dari dakapan penjaga gol Perak, Ramadhan Hamid.
Kedudukan 1-0 itu hanya kekal dua minit selepas Bergson menggandakan jaringan melalui rembatan deras dari luar kotak penalti bagi meletakkan JDT dua jaringan di hadapan.
Heberty turut berpeluang untuk meledak jaringan buat JDT namun percubaannya pada minit ke-25 tersasar.
Romel sekali lagi meledak pada minit ke-35 selepas menyambar hanntaran dari Juan Muniz sekali gus memberikan keselesaan buat JDT 3-0.
Ketika babak pertama hampir tamat, JDT berjaya menambah jaringan sekali lagi menerusi Bergson selepas penyerang berbisa dari Brazil itu menyempurnakan sepakan penalti.
Aksi babak pertama ditamatkan dengan kedudukan 4-0 memihak JDT sebagai pasukan pelawat.
Bersambung babak kedua, JDT meneruskan penguasaan dengan variasi hantaran yang tepat dan Perak pula dilihat sedang menanti waktu sesuai untuk melakukan serangan balas.
Perak mempunyai peluang keemasan untuk mendapatkan jaringan pertama perlawanan menerusi Sunday Afolabi pada minit ke-57 namun rembatan jarak jauh pemain tengah itu jauh tersasar.
Pada minit ke-84, situasi tegang berlaku apabila melibatkan pergaduhan di antara bintang negara, Arif Aiman Hanapi, dan Tommy Mawat Bada yang berkesudahan kedua-dua pemain dilayangkan kad kuning.
Malam gemilang JDT akhirnya ditutup dengan jaringan Bergson di penghujung permainan untuk menghadiahkan kemenangan selesa 5-0 buat JDT mengatasi Perak.
Kemenangan ini membolehkan JDT terus selesa di puncak Liga Super dengan melebarkan jurang kepada 11 mata degan pasukan di tangga kedua, Selangor FC. Manakala Perak kekal berada di tangga ke-7 liga.