Johor Darul Ta’zim (JDT) meneruskan rentak cemerlang dalam aksi Liga Super 2023 apabila skuad Harimau Selatan mencatat lapan kemenangan berturut-turut dalam saingan liga selepas menundukkan pasukan Kedah Darul Aman hari ini.
Perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim itu menyaksikan JDT mencatat kemenangan bergaya menewaskan Kedah Darul Aman, 6-0.
Babak separuh masa pertama bermula dengan serangan banyak diatur pasukan tuan rumah. Kedah dibawah kendalian Nafuzi Zain bermula dengan formasi bertahan dan hanya beberapa kali dilihat melakukan serangan balas.
Pada minit ke-24 permainan, penjaring terbanyak JDT, Fernando Forestieri memecah kebuntuan apabila menjaringkan gol pertama perlawanan. Keadaan kucar kacir yang berlaku di kawasan kotak penalti Kedah dimanfaatkan Forestieri dengan satu terpaan menggunakan lutut.
Separuh masa pertama tamat dengan JDT mendahului 1-0 dihadapan.
Bersambung babak kedua, pengendali JDT Esteban Solari membuat pertukaran pemain dengan mengeluarkan Endrick dos Santos dan memasukkan Afiq Fazail.
Pada minit ke-48 permainan, pertahanan muda JDT, Feroz Baharudin mencatat nama sebagai penjaring. Hantaran lintang dari sebelah kanan padang ditanduk masuk Feroz untuk gol kedua JDT.
JDT terus menambah derita Kedah Darul Aman menerusi Oscar Arribas yang meledak dua minit selepas gol kedua terhasil.
Tak terhenti setakat itu, giliran Bergson da Silva pula untuk meledak. Sepakan penalti yang diberikan pengadil mudah disempurkan Bergson untuk gol keempat JDT pada minit ke-53 permainan.
Skuad Harimau Selatan sekali lagi dihadiahkan sepakan penalti. Bagaimanapun sepakan penalti tersebut dibatalkan pengadil.
Pada minit ke-77 permainan, sayap muda JDT Arif Aiman Hanapi pula meledak. Gelecekan Arif Aiman gagal disekat benteng pertahanan Kedah sekaligus jaringannya itu melengkapkan malam gemilang JDT.
Kedah sesekali cuba mengatur serangan ke kubu pertahanan tuan rumah namun masih gagal untuk menjaringkan gol.
Sebelum perlawanan tamat, rembatan pemain gantian JDT, Leandro Velazquez cantik mengegar jaring. Kemasukannya jelas membuahkan hasil untuk anak buah kendalian Esteban Solari berpesta jaringan di Stadium Sultan Ibrahim.
Tiga minit masa tambahan tidak mengubah keputusan perlawanan. JDT menewaskan Kedah dengan keputusan 6-0.
Pasukan JDT akan meneruskan aksi saingan Piala FA bertemu PDRM pada Jumaat, 14 April 2023 sementara skuad Sang Kenari pula meneruskan kempen Liga Super, melayan kunjungan pasukan KL City pada Selasa, 17 April kelak.