Johor Darul Ta’zim (JDT) tak berdepan masalah untuk meraih satu lagi kemenangan penting mengatasi Kelantan DN dalam aksi Liga Super dengan Bergson muncul selaku watak utama.
Turun selaku juara Liga Super, JDT kini hanya melengkapkan jadual Liga Super tatkala berbaki dua lagi aksi dengan skuad dari Pantai Timur, Kelantan DN bakal menjadi lawan di laman sendiri.
Jurulatih JDT, Hector Bidoglio menurunkan penjaga gawang muda, Christian Abad Amat di pintu gol sementara Kelantan DN tampil dengan formasi 5-4-1 diketuai oleh pemain sayap, Fazrul Amir.
Pesta gol JDT bermula seawal minit ke-7 apabila Bergson dengan mudah menampan bola hantaran Park Jun-heong untuk Harimau Selatan bersorak ria di hadapan penyokong.
Bergson sekali lagi menggandakan kelebihan untuk pasukan JDT dengan jaringan kedua hasil tandukan mudah berpunca daripada sepakan sudut Nazmi Faiz Mansor di minit ke-20.
5 minit kemudian, Bergson melengkapkan hatrik dengan gol ketiga JDT menerusi percubaan kaki kiri dari jarak jauh yang berjaya menewaskan penjaga gol Kelantan DN, Fikri Che Soh.
Tidak cukup dengan itu, penyerang kelahiran Brazil ini sekali lagi melakar nama selaku penjaring di minit ke-27 sekaligus memecahkan rekod penjaring terbanyak dalam satu musim.
Sebelum rehat, peminat setia JDT terus bersorak ria dengan gol ke-5 di minit ke-37 setelah memanfaatkan situasi kelam-kabut di dalam kotak penalti Kelantan DN untuk terus selesa di hadapan.
Separuh masa pertama tamat, JDT 5-0 Kelantan DN.
Sekembali dari rehat, dua pertukaran dilakukan oleh pasukan JDT dengan membawa masuk Shahrul Saad serta Afiq Fazail manakala Kelantan DN menukarkan pemain di posisi penjaga gol.
Kini, giliran Romel Morales pula mencetak jaringan buat JDT dengan satu tandukan lambung setelah menerima hantaran oleh Bergson di minit ke-56 dari sebelah kiri pintu gol lawan.
Dua minit selepas itu, gawang Kelantan DN bolos buat kali ke-7 apabila Romel Morales dengan mudah tanpa dikawal menampan bola lorongan berkualiti oleh Jesse Rodriguez.
Pemain gantian, Shahrul Saad serta Safiq Rahim menutup malam gemilang buat JDT dengan jaringan ke-8 dan ke-9 buat pasukan JDT bagi memastikan 3 mata milik tuan rumah.
Aksi di Stadium Sultan Ibrahim berakhir dengan keputusan 9-0 memihak JDT.