Liga Super: JDT Tutup Musim Penuh Gah, Benam Kelantan TRW 14-1
MakanBola
Johor Soiuthern Tigers

Johor Darul Ta’zim FC (JDT) menutup kempen Liga Super Malaysia dengan penuh bergaya selepas membelasah Kelantan The Real Warriors 14-1 di Stadium Sultan Ibrahim.

Pasukan kendalian Xisco Munoz tampil dominan sejak awal permainan dengan meletakkan Bergson da Silva di kesebelasan utama bersama Manuel Hidalgo dan Yago Cesar bagi mengemudi jentera serangan. Sementara itu, Kelantan The Real Warriors mempertaruhkan Azam Azih serta Habib Haroon di bahagian tengah untuk cuba mengekang penguasaan tuan rumah.

JDT tidak menunggu lama untuk membuka jaringan apabila seawal minit pertama (47 saat), Bergson da Silva melakukan tandukan deras hasil hantaran silang Jonathan Silva.

Pada minit ke-11, Bergson sekali lagi mencuri tumpuan menerusi rembatan jarak jauh dari luar kotak penalti untuk jaringan kedua JDT.

Belum sempat Kelantan mendapatkan rentak, Manuel Hidalgo pula tenang menyudahkan hantaran lintang rendah bagi menghadiahkan gol ketiga buat Harimau Selatan pada minit ke-11.

JDT terus garang apabila pada minit ke-18, Antonio Glauder menanduk masuk bola untuk jaringan keempat pasukan tuan rumah.

Minit ke-25 menyaksikan Hidalgo pula mencetak nama selaku penjaring menerusi kuisan lambung yang menewaskan penjaga gol Kelantan The Real Warriors, Azfar Arif bagi gol kelima.

Bergson melengkapkan hatriknya pada minit ke-35 selepas sekali lagi berjaya menembusi pertahanan lawan untuk gol keenam JDT.

Selepas itu, Jese Wilkin menjadikan kedudukan 7-0 apabila menyempurnakan gerakan yang dimulakan Corbin Ong.

Pada minit ke-41, Bergson terus berpesta gol apabila mencetak jaringan keempat peribadinya selepas kesilapan pertahanan Kelantan The Real Warriors, Wan Amirul Afiq yang gagal mengeluarkan bola dengan kemas, sebelum peluang itu dimanfaatkan sepenuhnya oleh penyerang berbisa JDT itu.

Separuh masa pertama tamat dengan JDT selesa mendahului Kelantan The Real Warriors 8-0 selepas aksi serangan bertali arus dipamerkan skuad Harimau Selatan.

Memasuki babak kedua, Kelantan TRW cuba memperkemaskan corak permainan menerusi hantaran-hantaran pendek bagi meredakan tekanan tuan rumah, namun JDT terus menguasai permainan.

Pada minit ke-51, Yago César menambah derita pelawat apabila menanduk masuk hantaran silang Manuel Hidalgo untuk jaringan kesembilan JDT.

JDT terus berpesta gol pada minit ke-53 apabila Bergson da Silva mencetak jaringan kelima peribadinya dalam perlawanan ini hasil hantaran Yago Céear. Penyerang berbisa itu sempat mengawal bola menggunakan dada sebelum melepaskan rembatan tenang untuk menjadikan kedudukan 10-0.

Tidak lama kemudian iaitu pada minit ke-61, Manuel Hidalgo pula menambah gol buat Harimau Selatan selepas menyudahkan umpanan Stuart Wilkin untuk jaringan ke-11 JDT.

Kelantan The Real Warriors akhirnya berjaya memperoleh gol saguhati pada minit ke-64 menerusi Faris Izdiham yang menanduk masuk bola hasil sepakan penjuru, sekali gus mengubah kedudukan kepada 11-1.

Kedudukan selesa itu tidak boleh dijadikan ukuran kerana JDT terus-menerus melancarkan serangan ke kubu Kelantan.

Pada minit ke-81, Raúl Parra hampir menambah jaringan buat JDT, namun rembatan yang dilepaskannya sedikit tersasar daripada sasaran.

JDT terus menggandakan jaringan pada minit ke-83 apabila Bergson da Silva mencetak gol keenam peribadinya dalam perlawanan ini hasil umpanan Manuel Hidalgo.

Jaringan tersebut sekali gus meletakkan JDT selesa mendahului Kelantan The Real Warriors 12-1 dalam aksi yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim.

Kenduri gol JDT terus bersambung apabila pemain gantian, Syamer Kutty Abba turut meletakkan nama selaku penjaring menerusi tandukan kemas untuk menambah derita Kelantan

Berbaki 3 minit sebelum wisel penamat ditiupkan, Teto jaringkan gol ke-14 melalui rembatan lencong yang melepasi hantaran penjaga gol.

Biarpun JDT terus mengasak kubu Kelantan namun tiada tambahan jaringan dapat dihasilkan sekali gus menamatkan perlawanan dengan kemenangan besar 14-1 yang mana merupakan kemenangan terbesar Liga Super 2025/2026.