Kedah Darul Aman cemerlang mengalahkan cabaran Kelantan Darul Naim di gelanggang keramat Stadium Darul Aman dengan jaringan 3-0.
Skuad kendalian Nafuzi Zain dibarisi pemain-pemain hebat seperti Syafiq Ahmad, Rizal Ghazali, Habib Haroon, Sony Norde dan Irfan Zakaria.
Park Jaeh-hong pula memberikan kepercayaan kepada pemain seperti Oday Kharoub, Valdumar, Nasrol Amri, Mior Dani dan Kyeonghwan untuk menyarung jersi pasukan Kelantan Darul Naim pada aksi ini.
Kedah tidak menunggu lama pada aksi babak pertama apabila membuka tirai jaringan seawal minit ke-10 menerusi jaringan Rizal Ghazali.
Sang Kenari menampilkan aksi lebih dominan berbanding pasukan Kelantan tetapi gagal meraih gol kedua pada aksi separuh masa pertama menyaksikan keputusan 1-0 kekal hingga tamat babak pertama.
Kelantan DN cuba untuk bangkit mencari gol penyamaan namun Syafiq Ahmad pantas menambah derita Kelantan DN menerusi gol kedua Kedah pada minit ke-58.
Bola hantaran Milos Gordic kemudian berjaya disudahkan oleh Sony Norde pada minit ke-73 untuk meletakkan Kedah selesa dihadapan Kelantan DN dengan tiga gol tanpa balas.
Wisel penamat daripada pengadil menyaksikan Kedah Darul Aman berjaya menewaskan Kelantan Darul Naim dengan jaringan 3-0 untuk meraih tiga mata penting bagi aksi Liga Super.
Kedah seterusnya akan bertemu cabaran Kuching City manakala Kelantan Darul Naim sekali lagi akan menentang pasukan dari utara iaitu Perak pada 26 Julai kelak untuk aksi Liga Super 2024/2025.