Kedah Darul Aman FC (KDA FC) gagal meneruskan rentak kemenangan di tempat sendiri apabila diikat PDRM FC dalam aksi Liga Super yang dilangsungkan di Stadium Darul Aman pada Jumaat.
Dengan menurunkan barisan terkuat, Kedah tampil dengan dua penyerang berbisa di bahagian hadapan iaitu Milos Gordic dan Syafiq Ahmad. Manakala Ifedayo Olusegun kekal menjadi harapan utama PDRM dalam mendapatkan gol.
Perlawanan dimulakan dengan kedua-dua pasukan tampil sangat berhati-hati apabila masing-masing cuba menguasai perlawanan namun tiada serangan merbahaya untuk 15 minit pertama.
Pada minit ke-15 Kedah seharusnya berada di hadapan namun jaringan Syafiq Ahmad dibatalkan kerana berada di dalam kedudukan ofsaid.
Selepas serangan demi serangan dihasilkan, Kedah akhirnya berjaya di hadapan menerusi jaringan Jose Cleylton pada minit ke-33 selepas pemain pertahanan menyambar bola muntah susulan daripada percubaan awal Milos Gordic.
Ketinggalan satu gol, PDRM cuba mendapatkan rentak semula dengan beberapa gerak serangan telah diatur bagi mendapatkan penyerang mereka iaitu Ifedayo.
Pada minit ke-37, Ifedayo telah meledak jaringan menerusi tandukan berbisa namun jaringan tersebut tidak dikira kerana beliau terlebih dahulu terperangkap ofsaid.
Kedudukan kekal 1-0 memihak Kedah sehingga tamat separuh masa pertama dan PDRM masih buntu tanpa sebarang percubaan ke arah pintu gol.
Bersambung babak kedua, Kedah meneruskan penguasaan bola dengan variasi hantaran yang tepat sekali gus memaksa PDRM memberi lebih fokus untuk bertahan.
Peluang pertama PDRM pada separuh masa kedua hadir pada minit ke-49 melalui tandukan Friday Obilor namun ditangkap kemas Ifwat Akmal.
5 minit selepas itu, Amirul Hisyam hampir menambah jaringan buat Kedah namun rembatannya diselamatkan Bryan See.
PDRM akhirnya berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-56 melalui penyudah pemain import lincah, Aremu Timothy bagi mengubah kedudukan menjadi 1-1.
Tersentak dengan jaringan tersebut, Kedah meneruskan penguasaan bola bagi mencari jaringan seterusnya.
Kedua-dua pasukan saling berbalas serangan namun keampuhan benteng menjadi penghalang untuk jaringan dihasilkan.
Kedudukan 1-1 itu kekal sehingga tamat perlawanan sekali gus memaksa kedua-dua pasukan berkongsi satu mata.
Untuk aksi seterusnya, Kedah bakal bertemu Sabah pada 29 Oktober manakala PDRM pula bakal bertemu Perak FC pada 2 November.