Janji Nafuzi Zain bahawa Kedah akan mempamerkan kebangkitan malam ini selepas dibelasah 6-0 oleh Johor Darul Ta’zim (JDT) minggu lepas tidak kesampaian. Ini selepas Sang Kenari ditewaskan KL City 3-2 di Stadium Darul Aman.
Sebaik sepak mula, kedua-dua pasukan saling menyerang untuk memburu gol pembukaan. Jonathan Balotelli terlebih dahulu menguji kecekapan Azri Ghani seawal minit kedua tetapi bola sepakannya berjaya ditangkap penjaga gol muda City Boys itu.
Beberapa minit selepas itu, giliran kapten KL City, Paulo Josue pula menguji Kalamullah Al-Hafiz tetapi percubaannya dinafikan penjaga gol utama Kedah itu. Josue bagaimanapun berjaya meletakkan City Boys di hadapan pada minit ke-11 selepas menyudahkan hantaran Tchetche Kipre.
Tersentak, Sang Kenari bangkit memburu gol penyamaan. Hasilnya, mereka menyamakan kedudukan menerusi gerakan solo Balotelli pada minit ke-25.
Lima minit kemudian, Bojan Ciger menanduk hantaran sepakan percuma Lee Tuck menewaskan Azri bagi membolehkan Kedah mendahului 2-1. Kedudukan 2-1 kekal sehingga rehat.
Selepas rehat, City Boys kembali mengikat kedudukan 2-2 menerusi penyerang berbisa mereka, Romel Morales. Dari situ, kedua-dua pasukan berusaha memburu gol kemenangan tetapi sentuhan penyudah yang tumpul menghampakan kedua-dua pasukan.
Ini mendorong jurulatih KL City, Bojan Hodak segera memasukkan Herlison Caion menggantikan Kipre bagi menambah sengat di bahagian serangan. Percaturan tersebut berhasil apabila bekas penyerang Selangor itu meledakkan gol ketiga untuk pasukan pelawat pada minit ke-74.
Kedah cuba bangkit memburu gol penyamaan tetapi KL City kental bertahan sehingga tamat perlawanan. Keputusan ini membawa City Boys ke tangga ketujuh Liga Super dengan 12 mata. Manakala Kedah pula di tangga keempat dengan 16 mata.
Selepas ini, Liga Super berehat sebentar sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri. Perlawanan seterusnya menyaksikan Sang Kenari bertandang ke Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi untuk berdepan dengan Negeri Sembilan pada 28 April.
Sementara KL City yang telah mengutip empat kemenangan terakhir dari semua kejohanan pula berdepan PDRM di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada 27 April.