Hasrat Nafuzi Zain mencipta kemenangan ke atas pasukan lamanya, Terengganu tercapai hari ini. Ini selepas Kedah berjaya menewaskan skuad Peteh 1-0 di Stadium Darul Aman hari ini.
Babak pertama menyaksikan tuan rumah banyak menguji pertahanan pelawat menerusi Willian Lira dan Lee Tuck. Bagaimanapun, kecekapan penjaga gol Terengganu Suhaimi Husin menafikan tuan rumah daripada mendapat gol pembukaan. Keputusan 0-0 kekal sehingga rehat.
Selepas rehat, Terengganu yang dibimbing Tomislav Steinbruckner memperkemas rentak. Dan mereka hampir mendahului menerusi pemain gantian Adisak Kraisorn pada minit ke-54 tetapi sepakannya itu berjaya dinafikan penjaga gol Kalamullah Al-Hafiz.
Dengan kedua-dua pasukan saling menyerang, Nafuzi dan Steinbruckner mula membuat beberapa pertukaran pemain bagi mencari gol kemenangan.
Dengan perlawanan memasuki 10 minit terakhir, Nafuzi memasukkan Jonathan Balotelli bagi memberi nafas baru kepada bahagian serangan Kenari. Balotelli hampir saja membuka jaringan pada minit ke-80 tetapi percubaannya berjaya dinafikan Suhaimi.
Bagaimanapun, kesilapan Domagoj Pusic membuka ruang kepada tuan rumah membuka jaringan pada minit ke-89. Kesilapan pemain tengah Croatia itu menghantar bola kepada Suhaimi mengakibatkan Lira cuba merebutnya sehingga terjatuh.
Akibatnya, bola tersebut terlepas daripada jangkauan Suhaimi sekaligus memudahkan pemain gantian Fadzrul Danel menyumbat bola dalam gawang yang kosong. Keputusan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan.
Keputusan ini meletakkan Kedah di tangga ketiga liga dengan enam mata. Sementara Terengganu yang tewas dua kali berturut-turut berada di kedudukan tercorot liga.