Kedah Darul Aman FC (KDA FC) yang beraksi sebagai tuan rumah gagal mencatatkan kemenangan di gelanggang sendiri apabila terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri tanpa jaringan menentang pasukan Negeri Sembilan FC (NSFC) dalam aksi Liga Super yang berlangsung di Stadium Darul Aman sebentar tadi.
Perlawanan dimulakan dengan agak perlahan dan untuk 20 minit terawal permainan, tiada percubaan merbahaya yang dilakukan ke arah gawang kedua-dua pasukan.
Pada minit ke-23, Al-Hafiz Harun hampir menjaringkan gol melalui sepakan percuma namun Syihan Hazmi berjaya menepis percubaan tersebut.
Zaquan Adha berpeluang untuk menjaringkan gol pada minit ke-40 juga melalui sepakan percuma namun berjaya ditepis oleh Ifwat di gawang Kedah.
Ifwat sekali lagi bertindak cemerlang pada masa tambahan separuh masa pertama apabila menggagalkan satu gerak serangan situasi satu lawan satu di antara beliau dan penyerang Negeri Sembilan, David Mawutor.
Separuh masa pertama ditamatkan dengan kedudukan seri tanpa jaringan.
Bersambung babak kedua, Kedah dilihat lebih bernafsu untuk mendapatkan gol dengan beberapa gerak serangan namun berjaya dipatahkan barisan pertahanan Negeri Sembilan.
Pada minit ke-62, Ronald Ngah mempunyai peluang keemasan untuk menjaringkan gol namun rembatan beliau lemah selepas diasak pertahanan dari belakang.
Kossi Adetu berpeluang untuk menjaringkan gol melalui sepakan percuma pada minit ke-80 dengan yang sangat hampir dengan kotak penalti namun rembatannya sedikit tersasar.
Perlawanan akhirnya ditamatkan dengan keputusan seri tanpa jaringan dan kedua-dua pasukan terpaksa berpuas hati dengan berkongsi satu mata.