Liga Super: Kedah Tewas Mengejut Kepada PDRM
MakanBola
PDRM FC

Hasrat Kedah mencatat kemenangan ketiga dalam Liga Super tidak kesampaian. Ini selepas PDRM mencipta kejutan dengan mengalahkan tuan rumah 1-0 dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Darul Aman hari ini.

Babak pertama menyaksikan dalam tempoh 10 minit terawal perlawanan, PDRM mengancam pertahanan Kedah yang diterajui Bojan Ciger menerusi Fadi Awad dan Bruno Suzuki. Bagaimanapun, kedua-dua percubaan langsung tidak mengancam penjaga gol Kalamullah Al-Hafiz.

Tersentak dengan dua percubaan tersebut, Kenari mula melancarkan serangan ke arah kubu pertahanan Sang Saka Biru. Bagaimanapun, kebanyakan percubaan mereka berjaya dipatahkan oleh barisan pertahanan PDRM yang diketuai James Okwuosa. Kedudukan 0-0 kekal sehingga rehat.

Selepas rehat, Kedah cuba menggandakan asakan bagi mencari gol pembukaan. Tetapi usaha mereka terjejas apabila pemain tengah Filipina-Jerman, Manuel Ott dibuang padang pada minit ke-60 selepas didapati menolak kepala pemain PDRM menggunakan tangan.

Ini memaksa jurulatih Kenari, Nafuzi Zain membuat beberapa pertukaran bagi menambah sengat serangan tuan rumah. Ini termasuk memasukkan Manuel Hidalgo dan Fadzrul Danel menggantikan Jonathan Balotelli dan Al-Hafiz Harun.

Walaupun beberapa pertukaran telah dibuat, benteng PDRM diketuai Okwuosa kental menyerap asakan skuad Kenari. Tugas tuan rumah semakin sukar apabila Nafuzi turut dibuang padang oleh pengadil selepas didapati memprovokasi pegawai keempat.

Kesempatan ini segera direbut oleh Sang Saka Biru dengan membuka jaringan menerusi Bruno Suzuki pada minit ke-75. Satu sepakan percuma pantas yang diambil menyaksikan bekas penyerang Negeri Sembilan itu melarikan bola ke arah kotak penalti Kedah.

Suzuki kemudiannya cuba merembat ke arah gawang yang dikawal Kalamullah tetapi berjaya disekat pertahanan Kedah. Tetapi percubaannya buat kali kedua menerusi sepakan lencong berjaya menembusi gawang Kenari.

Tuan rumah berusaha mencari gol penyamaan tetapi Okwuosa dan rakan-rakan sepasukannya memastikan PDRM pulang dengan tiga mata. Kekalahan ini mengakibatkan Kedah jatuh ke tangga keempat dengan Sang Saka Biru naik ke tangga keenam liga.