Hasrat Penang FC mencatatkan kemenangan pertama dalam saingan Liga Super musim ini akhirnya menjadi kenyataan selepas menewaskan Perak FC di Stadium Negeri Perak sebentar tadi.
Kedua-dua pasukan menurunkan skuad terkuat dengan Penang mempertaruhkan gandingan Rodrigo Dias dan Neto Oliveira di bahagian serangan manakala Perak pula menurunkan Clayton sebagai penyerang tunggal di hadapan.
Aksi dimulakan dengan Perak dilihat lebih lebih menguasai perlawanan. Percubaan pertama hadir buat Perak pada minit ke-7 melalui rembatan deras Clayton namun berjaya ditepis Sikh Izhan di gawang Penang.
Serangan pasukan Perak berterusan dengan beberapa percubaan merbahaya namun kecemerlangan Sikh Izhan acap kali menjadi penghalang buat Perak.
Ketika separuh masa pertama hampir ditamatkan, Penang akhirnya berjaya memecah kebuntuan hasil jaringan Neto melalui sepakan percuma yang menarik.
Kedudukan 1-0 itu kekal sehingga tamat separuh masa pertama.
Bersambung babak kedua, Perak membuat dua pertukaran dengan membawa masuk Adilet Kanybekov dan Azalinullah Alias.
Perak meneruskan penguasaan bola dengan variasi serangan merbahaya dan memaksa Penang lebih bertahan.
Percubaan terbaik Perak hadir pada minit ke-74 melalui percubaan jarak jauh namun rembatan pertahanan dari Brazil itu ditangkap kemas Sikh Izhan.
Nabil Latpi juga berpeluang menambah jaringan buat Penang hasil rembatan dari luar kotak penalti namun tersasar.
Pemain gantian, Alif Ikmalrizal akhirnya mengesahkan kemenangan buat Penang selepas meledak jaringan kedua melalui penyudah dalam kotak penalti menewaskan Ramadhan Hamid.
Keputusan 2-0 itu kekal sehingga tamat perlawanan sekali gus menghadiahkan kemenangan pertama Penang dalam saingan Liga Super musim ini.
Untuk aksi seterusnya, Perak bakal berdepan Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) pad 26 Julai di gelanggang lawan. Manakala Penang pula dijadualkan bertemu Selangor FC pada 27 Julai di Stadium MBPJ.