Kuching City FC terus memperkukuh kedudukan di kelompok empat teratas Liga Super apabila menewaskan Selangor FC di Stadium Negeri, Kuching.
Kedua-dua pasukan turun dengan misi mempertahankan rekod tanpa kalah masing-masing. Merah Kuning belum tewas dalam 14 perlawanan semua kejohanan dengan The Cats (tujuh perlawanan).
Nooa Laine diberi tanggungjawab mengetuai Selangor. Gandingan Tchetche Kipre, Shamie Iszuan Amin dan Ramadhan Saifullah terus menjadi sandaran gol Kuching City.
Separuh masa pertama menyaksikan pelawat yang dibimbing Katsuhito Kinoshi bergelut menembusi barisan pertahanan tuan rumah.
Selangor yang menggunakan formasi 3-4-3 dilihat buntu mencari ruang menembusi gawang Kuching City yang dikawal Shahril Saari.
Keadaan sedikit panas antara kedua-dua pasukan apabila Shahril dilihat bertelagah dengan pemain tengah Selangor, Yohandry Orozco.
Selepas berjaya mengawal keadaan, pengadil Nazmi Nasaruddin melayangkan kad kuning kepada penjaga gol berusia 35 tahun itu pada minit ke-23.
Penyokong Kuching City ceria apabila Ramadhan menyumbat gol pendahuluan pada minit ke-26. Ini gol ketiganya sejak menyertai The Cats secara pinjaman dari Johor Darul Ta’zim (JDT).
Selangor berusaha mencari jaringan penyamaan tetapi keputusan 1-0 kekal sehingga rehat separuh masa.
Separuh masa kedua menyaksikan hujan lebat mula membasahi Stadium Negeri, Kuching. Meskipun begitu, ia dilihat tidak menjejaskan rentak permainan kedua-dua pasukan.
Selangor turut membuat dua pertukaran dengan memasukkan Mukhairi Ajmal dan Zikri Khalili menggantikan Faisal Halim dan Orozco.
Kem Merah Kuning ceria apabila Mukhairi menewaskan Shahril pada minit ke-51 selepas menerima hantaran Alvin Fortes.
Dua minit selepas itu, Ramadhan hampir meletakkan Kuching City di hadapan buat kali kedua. Malangnya, percubaan beliau dinafikan Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi sebelum bola muntah dikeluarkan Sharul Nazeem Zulpakar.
Tatkala Merah Kuning terus mengasak, The Cats akhirnya mendapat gol kedua menerusi Jimmy Raymond. Hantaran bek kanan kebangsaan itu gagal dibaca dengan tepat oleh Kalamullah sebelum menerjah jaring pada minit ke-85.
Selangor terus mengasak tetapi keputusan 2-1 kekal sehingga tamat perlawanan. Keputusan ini sudah cukup untuk membantu Kuching City memintas Sabah FC di tangga ketiga liga.
Meskipun kedua-dua pasukan berkongsi 36 mata, The Cats memiliki kelebihan bolos yang sedikit berbanding Sang Badak. Merah Kuning kekal di tangga kedua dengan 46 mata.
Selepas ini, Selangor akan menghadapi cabaran Terengganu FC pada 5 April. Kuching City pula akan berehat untuk hari perlawanan minggu 24 sebelum menentang JDT pada 17 April.