Perlawanan saingan Liga Super malam ini menyaksikan pertembungan di antara Kuching City menentang PDRM FC berakhir dengan kemenangan milik pasukan tuan rumah.
Seawal minit ke-2 permainan, perancang tengah berbakat Kuching City, Daniel Amier menjaringkan gol pembukaan pasukan selepas menerima hantaran kemas daripada Jordan Mintah.
Pada minit ke-33 permainan, pasukan PDRM berjaya mendapatkan sepakan penalti selepas Fadi Awad diterjah oleh pertahanan Kuching City, Yuki Tanigawa.
Namun, sepakan penalti yang diambil oleh Ifedayo Olusegun berjaya diselamatkan penjaga gol Kuching City, Shahril Saa’ri.
Separuh masa pertama tamat, Kuching City 1-0 PDRM FC.
Bersambung aksi di babak kedua permainan. pasukan pelawat membuat beberapa siri pertukaran untuk mencari jaringan penyamaan.
Hingga ke minit akhir, skuad kendalian P. Maniam masih gagal mencetak sebarang jaringan sebaliknya pasukan tuan rumah, Kuching City menambah koleksi jaringan menerusi penyerang sensasi, Jordan Mintah untuk gol kedua pasukan.
Aksi di Stadium Negeri tamat, Kuching City mencatat kemenangan bergaya 2-0 mengatasi PDRM.