Liga Super: Kuching City Garang Benam Kelantan RW
MakanBola
MFL

Kuching City FC meneruskan momentum kemenangan apabila menewaskan Kelantan Red Warrior FC (KRW FC) 5-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman (STAR), Paroi, pada Sabtu petang.

Aksi yang pada asalnya dijadualkan berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV (SSMIV) itu menyaksikan Kuching City mahu meneruskan momentum selepas membelasah KL City 6-0, manakala KRW FC turun untuk menebus kekecewaan selepas dibelasah JDT 9-0, meskipun berdepan Kuching City dengan skuad tempang.

Ketua jurulatih KRW, Irfan Bakti hanya mempunyai lima pemain di bangku simpanan dipercayai susulan krisis influenza yang melanda skuad itu sebelum ini.

Ketua jurulatih Kuching City, Aidil Sahrin pula mempertaruhkan penjaring empat gol dalam aksi terdahulu, Jerome Etame, bersama bekas pemain sayap JDT, Safawi Rasid dan Ramadhan Saifullah di bahagian serangan.

The Cats tampil lebih dominan pada separuh masa pertama apabila menguasai lebih banyak bola dan beberapa kali mengancam kubu KRW menerusi peluang-peluang berbahaya.

Kuching City tidak menunggu lama untuk membuka jaringan apabila Jerome Etame meledak gol pada minit ke-7 permainan.

Kuching City menambah jaringan pada minit ke-15 menerusi Ramadhan Saifullah, yang kembali diberi kepercayaan selepas diletakkan di bangku simpanan pada perlawanan terdahulu.

Safawi Rasid kemudian menjaringkan gol ketiga Kuching City pada minit kecederaan separuh masa pertama untuk memastikan pasukannya mendahului 3-0 ketika tamat separuh masa pertama.

Memasuki separuh masa kedua, Kuching City membuat pertukaran awal apabila Ariff Farhan dimasukkan menggantikan Joao Pedro. Mereka terus menguasai permainan dengan dominasi yang dikekalkan sejak babak pertama.

Kuching City terus menambah derita KRW apabila Jerome Etame meledak gol kedua peribadinya pada minit ke-54 untuk menjadikan kedudukan 4-0.

Dua minit kemudian, Kuching City terus menambah jaringan menerusi Safawi Rasid pada minit ke-56, sekali gus melengkapkan gol keduanya dalam perlawanan ini.

Tiada lagi jaringan selepas itu apabila keputusan 5-0 kekal sehingga wisel penamat ditiupkan, sekali gus menambah duka buat skuad Kelantan Red Warrior di Paroi.

Kuching City dan Kelantan Red Warrior akan kembali bertemu pada 1 September, dengan kedua-dua pasukan dijadualkan berentap dalam saingan Piala FA.