Advertisements
Pasaran Liga Super Melebihi 600 Juta Penduduk Tapi…
Blog
MakanBola

Artikel ini diterbitkan pada 30 Julai 2019 dan dikemas kini pada 27 Januari 2021.

Liga Super Malaysia semakin menerima pujian warga Asia Tenggara terutamanya dari Indonesia dan Vietnam namun potensi ini belum benar-benar dioptimasikan oleh Malaysian Football League (MFL) dan pasukan bertanding.

Berdasarkan bacaan-bacaan santai di group Facebook ASEAN sejak sekian lama, mereka menganggap pasukan Liga Malaysia lebih terurus dan mempunyai infrastruktur lebih baik berbanding negara mereka sendiri.

Bola Sepak memerlukan wang maka bola sepak perlu diuruskan seperti satu perniagaan.

Insentif Tambahan Untuk Pengambilan Pemain Import ASEAN

Masih ingat fenomena Bambang Pamungkas dan Elie Aiboy pada tahun 2005-2007? Fenomena 2 pemain ini membantu pasukan Selangor mengutip pendapatan jualan tiket maksima setiap perlawanan.

Bayangkanlah, untuk satu musim sahaja Selangor berjaya mengutip anggaran RM9 juta dari penjualan tiket perlawanan.

Cuba berfikir diluar kotak, apa akan jadi sekiranya Ultras Selangor dan rakyat Indonesia yang menetap di Malaysia bergabung untuk bersama-sama menyokong pasukan Selangor dengan lebih tersusun.

MFL boleh memberikan insentif tambahan kepada pasukan yang mengambil pemain dari ASEAN seperti dana gaji sebanyak RM7000 untuk setiap pemain atau lain-lain insentif.

Waktu & Hari Permainan Yang Pelbagai

Waktu permainan perlu dipelbagaikan dan tidak terhad untuk jam 8.45 malam sahaja. MFL perlu mengkaji bagaimana untuk menyeimbangkan waktu perlawanan siang dan malam bagi setiap pasukan.

Sebagai contoh perlawanan boleh diadakan pada 3 hari berlainan iaitu Jumaat, Sabtu dan Ahad. Perlawanan tumpuan dari pasukan yang kuat seperti JDT, Kedah, Perak dan lain-lain boleh diadakan pada hari Sabtu manakala lain-lain perlawanan pada hari Jumaat dan Ahad.

Perlawanan boleh diadakan pada waktu petang dan malam bagi memaksimakan waktu siaran langsung Liga Super.

Menjual Hak Penyiaran Tidak Eksklusif

Perlu ada sistem bidaan untuk perlawanan tumpuan dan ini boleh dikawal MFL sendiri.

Jika pada minggu ke-7, RTM berjaya membida perlawanan tumpuan JDT menentang Perak di Larkin katakan, maka lain-lain TV akan menyiarkan lain-lain perlawanan.

Perlu ada harga minima bagi setiap perlawanan dan perlawanan dengan nilai komersial yang rendah boleh dijual kepada beberapa syarikat TV dengan harga murah.

Kesemua siaran mestilah tidak eksklusif agar ia menguntungkan MFL semaksima mungkin. Pasaran bola sepak Malaysia tidak terhad di negara ini sahaja sebaliknya seluruh rantau Asia Tenggara.

Sebagai contoh, pasukan JDT berjaya menarik penyokong Vietnam dengan pengambilan seorang pemain dari negara berkenaan. Selain stadium dipenuhi penyokong dari Vietnam, MFL juga boleh menjual hak penyiaran bukan eksklusif kepada syarikat TV di sana.

Di England contohnya, lebih RM12 bilion berjaya dikutip Liga Perdana Inggeris untuk musim 2018/19 menerusi penjualan hak siaran langsung perlawanan. Pendapatan ini diagihkan kepada setiap pasukan menggunakan kiraan tersendiri. Sumber.

20 Pasukan Untuk Saingan Liga Super

Akan berlaku 16 tambahan permainan bermaksud akan terdapat 16 tambahan hak penyiaran bagi setiap pasukan.

Walaupun liga kita masih dibelenggu dengan masalah dana pasukan, MFL perlu bijak untuk menyelesaikan masalah ini.

Liga Super kadang kala membosankan dengan pasukan sama setiap musim. Dengan adanya 20 pasukan ini, semakain banyak perlawanan dapat diadakan bermaksud semakin tinggi nilai komersial Liga Super.

Meningkatkan Kualiti Siaran TV

Saya mencadangkan agar setiap siaran langsung dikawal oleh pihak yang berpengalaman seperti Astro Arena atau MFL menubuhkan satu anak syarikat yang mengawal aktiviti rakaman siaran langsung.

Rakaman siaran langsung selain Astro adalah mengecewakan dengan kamera dan krew kurang berpengalaman.

Mempromosikan Liga Super Bukannya MFL

Saya suka melihat pemasaran identiti baharu MFL. Ianya amat profesional dan bertaraf dunia akan tetapi MFL sepatutnya mempromosikan produk utamanya itu Liga Super itu sendiri. Liga Super perlu dikenali sebagai liga tertinggi Malaysia yang melahirkan pemain berkualiti tinggi di Asia Tenggara.

Liga Super perlu ada laman web sendiri dan identiti sendiri. “Liga Super” dan bukannya Malaysian Super League.

Liga Super perlu menjadi anak syarikat MFL dan bukannya entiti yang sama namun dibarisi pemimpin yang sama bagi menjimatkan kos pentadbiran.


Pasaran bola sepak Asia Tenggara sangat luas dan Malaysia perlu bijak merebut peluang ini. Bola sepak perlu diurus sebagai satu perniagaan dan perniagaan yang berjaya adalah perniagaan yang menguntungkan.

Potensi pemasaran di rantau ini adalah sekitar 600 juta penduduk. Satu pasaran yang sangat luas.

Related Articles