Liga Super: Negeri Sembilan Tapau Sri Pahang Di Paroi
MakanBola
Negeri Sembilan FC
Sponsors

Perlawanan Liga Super ini menemukan pasukan tuan rumah, Negeri Sembilan FC yang melayan kunjungan pasukan Sri Pahang FC. Keputusan berpihak kepada Negeri Sembilan yang menewaskan Sri Pahang dengan keputusan 3-0.

Gol-gol Negeri Sembilan dijaringkan oleh trio barisan hadapan mereka iaitu Gustavo Almeida, Matheus Alves dan Yashir Pinto.

Ad

Perlawanan bermula dengan seimbang. Kedua-dua pasukan cuba mengawal permainan dan cuba menyusun serangan dari bawah. Untuk 20 minit pertama, permainan menjadi milik Negeri Sembilan yang rancak melakukan gerak serangan.

Ad

Selepas beberapa siri serangan, Negeri Sembilan akhirnya berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-34 melalui penyerang import baharu mereka, Gustavo Almeida yang menyambar sepakan percuma dari rakan sepasukannya, Ahmad Khuzaimi Piee.

Tersentak dengan gol itu, pasukan Sri Pahang cuba megatur serangan dari bawah dengan saling bertukar-tukar hantaran pendek namun mereka berdepan kesukaran untuk memecah benteng Negeri Sembilan yang diketuai Herold Goulon.

Ad

Separuh masa pertama ditamatkan menyaksikan pasukan Negeri Sembilan mendahului Sri Pahang 1-0.

Ad

Bersambung babak kedua, Negeri Sembilan tidak menunggu lama untuk meledak apabila pada minit ke-48, Yashir Pinto menambah jaringan buat Negeri Sembilan hasil rembatan leret yang menewaskan Mamadou Samassa di gawang Sri Pahang.

Belum sempat Sri Pahang mengatur langkah, Negeri Sembilan sekali lagi menambah jaringan kali ini melalui penyerang mereka, Matheus Alves yang melepaskan rembatan yang mengelirukan penjaga gawang Sri Pahang sekali gus menjarakkan kedudukan menjadi 3-0.

Pasukan Sri Pahang dilihat bergelut untuk melancarkan serangan dek kerana tekanan tinggi yang dihidangkan oleh barisan pemain Negeri Sembilan.

Peluang terbaik Sri Pahang hadir pada minit ke-65 melalui rembatan deras Azam Azih namun berjaya diselamatkan penjaga gol Negeri Sembilan, Syihan Hazmi.

Shahrul Nizam mendapat peluang keemasan pada minit ke-79 melalui sepakan percuma. Namun sepakan pemain gantian itu berjaya ditumbuk keluar Syihan.

Perlawanan akhirnya ditamatkan selepas 3 minit masa tambahan dengan kedudukan kekal memihak Negeri Sembilan dengan keputusan 3-0 menewaskan Sri Pahang.

Dengan kemenangan ini, Negeri Sembilan naik satu anak tangga ke kedudukan ke-2 Liga Super manakala Sri Pahang mengekalkan kedudukan ke-10 liga. Aksi seterusnya, Negeri Sembilan akan bertemu Terengganu FC pada 29 Jun dan Sri Pahang juga akan bertemu Terengganu FC pada 3 Julai depan.