Liga Super: PDRM Bergelut Diikat Kuching City

Kuching City Liga Super PDRM FC Liga Super: PDRM Bergelut Diikat Kuching City
PDRM FC
Azim Noor @mohdazim45
10:13pm 08/10/2023

Hasrat PDRM FC menghambat KL City FC tidak kesampaian apabila sekadar seri 1-1 dengan Kuching City di Stadium MBPJ hari ini.

The Cops tahu satu lagi kemenangan bakal merapatkan jurang mereka dengan The City Boys kepada tiga mata. Sementara Il Gatto pula berusaha merapatkan jurang dengan Kelantan United FC yang memiliki kelebihan tujuh mata.

Babak pertama menyaksikan PDRM mendominasi lawan mereka dari Sarawak itu. Bagaimanapun, benteng Kuching City diketuai Jimmy Raymond kental menyerap asakan tuan rumah.

Penantian tuan rumah akhirnya berbaloi menerusi gol Uche Agba pada minit ke-45. Keputusan 1-0 kekal sehingga rehat.

Bersambung pada babak kedua, Il Gatto menyangka sudah menyamakan kedudukan menerusi Abu Kamara pada minit ke-49.

Bagaimanapun, gol tersebut dibatalkan pengadil, Zamzaidi Katimin atas alasan Kamara mengasari penjaga gol Sang Saka Biru, Ramdhan Ab Hamid.

Kuching City tidak berputus asa dan akhirnya mendapat gol penyamaan menerusi penjaring terbanyak mereka itu pada minit ke-58.

Suasana perlawanan bertukar cemas seketika pada minit ke-83 apabila Jimmy tidak sedarkan diri selepas bola sepakan pemain PDRM terkena kepala beliau.

Ini mendorong Zamzaidi menghentikan perlawanan dan mengarahkan pasukan perubatan segera masuk ke padang. Selepas diberi rawatan, Jimmy dibawa ke hospital dengan ambulans untuk rawatan lanjut.

The Cops menyangka mereka menjaringkan gol kemenangan menerusi Bruno Suzuki pada minit ke-92. Bagaimanapun, Zamzaidi membatalkan gol tersebut selepas wujud kekasaran terhadap penjaga gol Wan Azraie Wan Teh.

Keputusan 1-1 kekal sehingga tamat perlawanan. Keputusan ini memastikan kedua-dua pasukan masing-masing kekal di tangga kelapan dan ke-14 liga.