Aksi Liga Super 2024/2025 hari ini diteruskan membabitkan dua pasukan dari utara iaitu Penang dan Kedah Darul Aman.
Perlawanan Derbi Utara tanah air yang berlangsung di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang menyaksikan pasukan pelawat, Kedah Darul Aman berjaya mencuri tiga mata selepas mencatat kemenangan bergaya keatas Penang.
Separuh masa pertama tamat dengan tiada jaringan berjaya dihasilkan. Kedua-dua pasukan tampak mencari rentak permainan apabila beberapa gerakan tidak dinatijahkan kepada jaringan. Kedah dan Penang terikat 0-0 di babak pertama perlawanan.
Bersambung aksi di babak kedua, Kedah banyak bermula dengan larian dan serangan daripada bahagian sayap. Anak buah Nafuzi Zain dilihat ditekan menerusi serangan daripada pasukan tuan rumah.
Penang beberapa kali hadir dengan serangan menerusi Nabil Latpi dan Rafael Vitor namun keghairahan pasukan tuan rumah untuk meledak mengakibatkan kelekaan di bahagian pertahanan pasukan Penang.
Percaturan pengendali Kedah, Nafuzi Zain dengan membawa masuk Syafiq Ahmad dan Ebenezer Assifuah nyata membuahkan hasil apabila dua pemain gantian ini bergandingan menghasilkan gol pertama perlawanan.
Jaringan hadir pada minit ke-77 permainan menerusi pemain import Kedah, Ebenezer Assifuah selepas rembatan pemain berusia 30 tahun itu gagal diselamatkan penjaga gol Penang, Sikh Izhan Nazrel. Hantaran daripada Syafiq Ahmad disempurnakan Assifuah untuk jaringan kemenangan Sang Kenari.
Gol tersebut terus menjulang skuad Sang Kenari di laman lawan. Penang gagal mencatat sebarang mata di laman sendiri selepas ditewaskan Kedah dengan keputusan 1-0.
Untuk rekod, Kedah kini telah mencatat dua kemenangan dan dua kekalahan dalam kempen Liga Super sementara Penang mencatat tiga keputusan seri dan satu kekalahan selepas empat perlawanan.