Liga Super: Perak Bergelut, Seri Dengan Kelantan United
MakanBola
Perak FC
Sponsors

Ketumpulan barisan serangan Perak terus memeningkan kepala jurulatih mereka, Datuk Lim Teong Kim. The Bos Gaurus hanya meraih satu mata selepas diikat 0-0 oleh Kelantan United di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu.

Babak pertama menyaksikan kedua-dua pasukan gagal mencipta sebarang peluang yang menguji penjaga gol masing-masing iaitu Bryan See Tian Keat (Perak) dan Asyraaf Omar (Kelantan United).

Ad

Satu-satunya detik yang hampir mencemaskan tuan rumah ialah apabila pemain tengah Abdul Latiff Suhaimi hampir tertanduk ke gawang sendiri selepas berlaku salah faham antaranya dengan Asyraaf.

Ad

Bagaimanapun, jurulatih Kijang Hijau, Tomas Trucha menghela nafas lega apabila tandukan tersebut hanya melepasi bahagian tepi gawang. Keputusan 0-0 kekal sehingga rehat.

Babak kedua menyaksikan Kelantan United lebih mengancam kubu pertahanan pelawat. Dan mereka hampir di hadapan pada minit ke-51 menerusi sepakan voli Devid Silva tetapi ia berjaya ditepis keluar Bryan.

Ad

Beberapa minit selepas itu, bekas penyerang KF Tirana itu sekali lagi menguji Bryan menerusi satu tandukan ke arah gol. Bagaimanapun, bekas penjaga gol Melaka United itu berjaya menafikan bola daripada membolosi gawangnya.

Ad

Dengan perlawanan memasuki 10 minit terakhir, tuan rumah mula menggandakan serangan. Silva sekali lagi menguji kecekapan Bryan dengan satu lagi tandukan ke arah gol pada minit ke-82 tetapi berjaya ditangkap kemas bekas penjaga gol Bangkok FC itu.

Ad

Keputusan 0-0 kekal sehingga tamat perlawanan. Dengan keputusan ini, Perak berada di tangga kesembilan dengan dua mata. Sementara Kijang Hijau pula mengutip mata pertama mereka musim ini.

Walaupun tidak bolos dalam dua perlawanan, ketumpulan barisan serangan Seladang pastinya membimbangkan Teong Kim. Hal ini perlu diatasi segera sekiranya beliau mahu Perak kembali mengejar kegemilangan silam.