Perak akhirnya memperoleh kemenangan pertama dalam Liga Super selepas mencuba buat kali keempat. Ini selepas The Bos Gaurus menundukkan Kuching City 2-0 di Stadium Perak hari ini.
Sebaik sepak mula, tuan rumah garang mengasak pasukan pelawat. Percubaan terbaik mereka hadir menerusi Ikhwan Hafizo pada minit ke-24 selepas menerima hantaran Hadi Fayyadh. Tetapi ia berjaya ditangkap kemas penjaga gol Il Gatto, Shaiful Wazizi.
Usaha keras tuan rumah memecah kebuntuan akhirnya berhasil pada minit ke-42 menerusi sepakan leret Seo Seon-ung. Alif Hassan kemudiannya menggegar palang Perak pada minit akhir separuh masa pertama tetapi keputusan 1-0 kekal sehingga rehat.
Separuh masa kedua menyaksikan Kuching City berusaha memburu gol penyamaan. Tetapi mereka dibolosi lagi buat kali kedua menerusi sepakan lencong Seon-ung pada minit ke-57 selepas menerima hantaran Farris Izdiham.
Kuching City berusaha menguji gawang Bryan See menerusi beberapa percubaan jarak jauh tetapi gagal menemui sasaran. Sebaliknya, Shaiful Wazizi pula berjaya menangkap kemas sepakan jarak jauh pemain gantian, Shafizi Iqmal pada minit ke-81.
Il Gatto berusaha menggugat gawang Bryan tetapi keputusan 2-0 kekal sehingga tamat. Keputusan ini melonjakkan Perak ke tangga keenam liga dengan lima mata. Sementara Kuching City pula berada di tangga ke-10 dengan tiga mata.