Perak FC meneruskan rentak kemenangan dalam saingan Liga Super selepas mencipta kejutan menewaskan Sri Pahang dalam aksi di Stadium Temerloh pada Sabtu.
Perak menurunkan barisan pemain yang hampir serupa seperti perlawanan terdahulu dengan Clayton Da Silva kekal sebagai penyerang tunggal manakala Kpah Sherman diletakkan harapan yang tinggi sebagai penyerang utama Sri Pahang.
Perlawanan dimulakan dengan Perak dilihat lebih tenang mendominasi permainan.
Peluang pertama Perak hadir pada minit ke-10 melalui Clayton namun tandukan penyerang Brazil itu sedikit tersasar selepas cuba menyudahkan sepakan penjuru yang diambil rakan sepasukan.
Sri Pahang mula mendapatkan rentak permainan dengan beberapa gerak serangan yang dimulakan Manuel Hidalgo di bahagian sayap.
Sergio Aguero hampir meletakkan Sri Pahang di hadapan pada minit ke-25 namun percubaannya meliar ke sisi gawang walaupun hanya berdepan situasi satu lawan satu.
Perak akhirnya berjaya di hadapan melalui penyudah Luciano Guaycochea pada minit ke-43 selepas perancang dari Argentina itu menanduk sepakan penjuru daripada Tommy Mawat. Perak di hadapan 1-0.
Ketika separuh masa pertama hampir tamat, Kpah Sherman mempunyai peluang keemasan untuk meledak gol penyamaan namun percubaannya lemah dan ditangkap kemas Haziq Nadzli.
Separuh masa pertama ditamatkan dengan kedudukan 1-0 memihak Perak.
Bersambung babak kedua, Perak meneruskan tekanan ke kubu Sri Pahang bagi menjarakkan lagi kedudukan.
Luciano Guaycochea sekali lagi menjadi wira buat Perak apabila berjaya meledak jaringan kedua pada minit ke-47 selepas kapten pasukan Perak itu membuat percubaan susulan hasil percubaan awal Adilet Kanybekov yang gagal ditangkap kemas Azfar Arif.
Ketinggalan dua gol, Sri Pahang mula memperkemaskan corak permainan dengan beberapa percubaan merbahaya turut berjaya dihasilkan.
Perak semakin sukar digugat selepas Firdaus Saiyadi melebarkan jurang menjadi 3-0 pada minit ke-61 menerusi pergerakan satu dua bersama Clayton sebelum melepaskan rembatan leret menewaskan Azfar Arif.
Sri Pahang berusaha untuk menrapatkan kedudukan melalui beberapa percubaan namun tiada tambahan jaringan dapat dihasilkan.
Perlawanan akhirnya ditamatkan dengan kemenangan 3-0 buat Perak menewaskan Sri Pahang.
Perak akan bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 5 Oktober manakala Sri Pahang pula akan bertemu Penang FC pada 20 Oktober depan.