Kemelut luar padang bukan halangan buat Perak FC menamatkan musim 2024/25 dengan positif apabila menewaskan Sabah FC di Stadium Likas.
Kedua-dua pasukan berharap dapat menutup musim 2024/25 dengan kemenangan. The Bos Gaurus turut membawa misi memintas KL City FC untuk menduduki kelompok enam pasukan terbaik.
Sabah kembali mendapat khidmat Park Tae-soo dan Jafri Firdaus Chew selepas menjalani penggantungan perlawanan.
Kudrat dua penyerang muda, Daniel Hakimi Ahmad Zamil dan Farris Izdiham Awang Kechik ditagih pengendali Perak, Yusri Che Lah.
Separuh masa pertama menyaksikan Sang Badak berusaha merobek gawang pelawat menerusi Darren Lok, Miguel Cifuentes dan Jafri.
Malangnya, setiap usaha tuan rumah untuk merencana serangan ke arah gawang Perak kerap digagalkan barisan pertahanan diketuai Sunday Afolabi.
Tatkala Sabah berusaha memberi tekanan, The Bos Gaurus mencipta kejutan dengan mendahului pada minit ke-29. Rawilson Batuil ditimpa malang apabila tertolak hantaran Farris Izdiham ke dalam gawangnya sendiri.
Anak buah Martin Stano makin tertekan apabila R. Dinesh dilayangkan kad merah oleh pengadil perlawanan, Khairulsyahmi Ahmad Khalidi pada minit ke-42.
Dinesh diarah keluar padang selepas Khairulsyahmi mendapati pemain Sabah itu melakukan terjahan merbahaya ke atas Daniel Hakimi.
Situasi ini membantu Perak mempertahankan kelebihan 1-0 yang dimiliki sehingga rehat separuh masa.
Bersambung selepas rehat, Stano bertindak memasukkan Harith Naim Jaineh untuk menambah ketajaman serangan Sabah.
Percaturan jurulatih Slovakia itu hampir membuahkan hasil seminit selepas separuh masa kedua bermula. Jafri hampir menyamakan kedudukan buat Sabah tetapi rembatan lencongnya tersasar.
Sabah bernasib baik tidak dibolosi buat kali kedua pada minit ke-72. Hantaran lintang Syahmi Shamsudin disekat Hanafie Tokyo sebelum sampai ke kaki Farris Izdiham.
Sang Badak berusaha mencari jaringan penyamaan tetapi keputusan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan.
Keputusan ini menyaksikan Sabah dan Perak masing-masing menamatkan musim di tempat ketiga dan ketujuh dengan 40 dan 30 mata.