Legenda Manchester United, Ryan Giggs berpandangan Liga Super perlu lebih kompetitif demi kepentingan bola sepak Malaysia.
Pandangan itu dibuat legenda Wales itu apabila ditanya tentang cadangan untuk meningkatkan mutu liga bola sepak utama negara itu.
Giggs melihat peningkatan tahap saingan dalam liga bukan saja menjadikan semua pasukan lebih kuat. Malah, ini akan menambah kualiti bola sepak negara terutama buat Harimau Malaya.
“Anda memerlukan persaingan yang lebih kerap setiap minggu. Anda boleh lihat dalam Liga Perdana Inggeris, kualitinya sangat tinggi daripada sebelumnya,” katanya seperti yang dilaporkan wartawan Astro Arena, Kamal Nizam.
“Dulu hanya dua atau tiga pasukan. Kini, 10 pasukan kecuali pasukan yang menduduki kelompok tiga terbawah, semua pasukan boleh mencipta kemenangan antara satu sama lain.
“Itu yang anda perlukan dalam liga domestik anda, pertambahan dari segi daya saing.”
Giggs turut melihat prestasi baik Harimau Malaya juga mampu menambah nilai tambah kepada arena bola sepak negara.
“Sekiranya pasukan kebangsaan menunjukkan prestasi baik, ia akan memberi nilai tambah kepada negara juga,” ujarnya.
Giggs tiba di Malaysia bagi mempromosikan aksi persahabatan antara Manchester United dan ASEAN All-Stars pada 28 Mei ini.