Aksi Liga Super di Kelana Jaya hari ini menemukan antara pasukan Selangor dan PJ City.
Babak separuh masa pertama perlawanan memperlihatkan kedua-dua pasukan masih tercari-cari rentak permainan. Bola sering kali berlegar di kawasan tengah padang dan sesekali pasukan Selangor mengatur asakan untuk menyerang ke kubu lawan.
Aksi separuh masa pertama tamat dengan keputusan seri 0-0.
Babak kedua perlawanan diteruskan dengan beberapa serangan mula diatur pasukan PJ City. Selangor pula dilihat masih berusaha untuk mencari rentak menembusi gawang lawan.
Percaturan P. Maniam untuk membawa masuk K. Kannan nyata membuahkan hasil apabila pemain itu telah membuka ruang buat Darren Lok meledak.
Pada minit ke-59 permainan, lontaran Kannan telah ditahan kemas oleh Darren Lok sebelum beliau melepaskan satu rembatan. Percubaan Darren meluru masuk ke penjuru gawang mudah menewaskan penjaga gol Selangor, Sam Sommerville.
Selepas jaringan PJ City terhasil, Selangor dilihat semakin ghairah menyerang untuk mencari gol penymaan. Banyak gerakan yang direncanakan terutamanya menerusi pemain gantian, Alif Haiqal.
Bagaimanapun setiap serangan Selangor telah disekat lawan. Percubaan-percubaan yang dilepaskan juga tidak menatijahkan kepada jaringan.
Enam minit masa tambahan tidak mengubah keputusan perlawanan, aksi tamat, Selangor 0-1 PJ City.