Selangor menutup kempen Liga Super 2024-2025 dengan kemenangan ke atas PDRM di laman sendiri pada Sabtu.
Pertembungan di Kelana Jaya ini bakal menemukan Selangor yang sudah memastikan tempat selaku naib juara Liga Super dan PDRM yang juga aksi ulangan final Challenge Cup lalu.
Katsuhito Kinoshi melakukan 3 pertukaran di dalam senarai kesebelasan utama Selangor dengan Sam Somerville turun mengawal pintu gol tatkala Ifedayo jadi taruhan PDRM buru jaringan.
Seawal minit ke-21, Selangor miliki peluang untuk mencetak gol pendahuluan menerusi tendangan penalti namun Ronnie Fernandez gagal sudahkan tugas itu apabila ditepis penjaga gawang PDRM, Hakeem Hamidun.
Pelawat bagaimanapun terlebih dahulu membolosi gawang Selangor hasil sentuhan Ifedayo Olusegun sebelum gol itu dibatalkan oleh penjaga garisan gara-gara kedudukan ofsaid
Separuh masa pertama tamat, Selangor 0-0 PDRM.
Babak kedua kembali menyaksikan kubu kuat PDRM berhasil ditembusi menerusi rembatan deras Alvin Fortes yang terus menewaskan Hakeem Hamidun dan meletakkan Selangor di hadapan.
Pengendali PDRM, Eddy Gapil lantas mengambil tindakan segera dengan membawa masuk 4 tenaga baharu untuk menambah bisa di jentera serangan dalam usaha mencari gol.
Jaringan di penghujung aksi oleh Yohandry Orozco pastikan malam gemilang buat Selangor di perlawanan terakhir selain menamatkan perjuangan PDRM untuk bangkit meraih mata.
Perlawanan di Stadium MBPJ berakhir dengan keputusan 2-0 memihak Selangor.
Dengan ini, Selangor mengakhiri saingan Liga Super musim 2024-2025 di tempat kedua dengan meraih 52 mata tatkala PDRM pula berada di kedudukan ke-8 buat masa ini dengan 27 mata.