Liga Super: Sri Pahang Curi Mata Berharga Dari Perak
MakanBola
Sri Pahang FC

Hasrat Perak FC merapatkan jurang dengan kelompok enam pasukan terbaik Liga Super gagal apabila tewas kepada Sri Pahang FC di Manjung.

Kedua-dua pasukan mahu meneruskan momentum kemenangan yang diraih dalam aksi sebelumnya. Perak mengatasi KL City FC dengan Sri Pahang membelasah Kedah Darul Aman FC (KDA FC) 6-0.

Gandingan Clayton da Silva, Luciano Guaycochea dan Wan Zack Haikal terus menjadi sandaran gol The Bos Gaurus. Mykola Ahapov dan Sergio Aguero mengetuai jentera serangan Tok Gajah.

Ad

Separuh masa pertama menyaksikan kedua-dua pasukan berusaha mencari gol pendahuluan di Stadium Manjung.

Sri Pahang hampir menyumbat gol pendahuluan menerusi Sean Selvaraj pada minit ke-33 selepas menerima hantaran Ahapov. Malangnya, tandukan beliau terkena palang.

Ad
Ad

Beberapa minit selepas itu, giliran Guaycochea pula menguji penjaga gol Sri Pahang, Azfar Arif Mohd Sukri. Percubaan derasnya mudah diselamatkan bekas penjaga gol Penang FC itu.

Ad

Nur Azfar Fikri Azhar hampir meletakkan Perak di hadapan pada minit ke-41. Penyerang berusia 25 tahun itu hampa apabila percubaannya dinafikan Azfar Arif.

Kedua-dua pasukan terus berusaha mencari gol pendahuluan tetapi keputusan 0-0 kekal sehingga rehat.

Bersambung pada babak kedua, pengendali Sri Pahang FC, Fandi Ahmad mengambil langkah berjaga-jaga dengan memasukkan Ibrahim Manusi sebagai pengganti Saiful Jamaluddin.

Ini selepas Saiful dilihat tidak dapat meneruskan permainan akibat kecederaan. Perak pula memasukkan Firdaus Saiyadi menggantikan Clayton pada minit ke-55.

Tatkala kedua-dua pasukan terus buntu mencari jaringan, T. Saravanan muncul wira Sri Pahang dengan meledakkan gol kemenangan pada minit ke-82.

Tersentak, Perak cuba bangkit mencari gol penyamaan. Walau bagaimanapun, keputusan 1-0 kekal memihak kepada Tok Gajah sehingga tamat perlawanan.

Keputusan ini menyaksikan Sri Pahang berpeluang menamatkan musim 2024/25 dalam kelompok tujuh pasukan terbaik liga. Ini kerana mereka hanya dipisahkan satu mata dengan Perak yang menduduki tangga ketujuh.

Selepas ini, Tok Gajah akan menentang Penang FC di Temerloh pada 19 April. The Bos Gaurus pula menutup kempen liga dengan menentang Sabah FC di Stadium Likas pada 20 April.

Subscribe
Notify of
0 Comments
Oldest
Newest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments