Liga Super: Sri Pahang Gah Atasi Cabaran Perak
MakanBola
Perak FC
Sponsors

Hasrat Perak meraih kemenangan kedua dalam Liga Super malam ini tidak kesampaian. Ini selepas The Bos Gaurus tunduk 3-0 kepada Sri Pahang di Stadium Perak.

Sepak mula menyaksikan Sri Pahang lebih garang mengasak anak-anak buah Datuk Lim Teong Kim. Kpah Sherman hampir meletakkan skuad Tok Gajah di hadapan seawal minit keenam tetapi percubaannya tidak menepati sasaran.

Ad

Tetapi kesungguhan pelawat membuahkan hasil apabila Kpah mudah menolak hantaran Sergio Aguero untuk gol pertama pada minit ke-13. Stefano Brundo kemudiannya mudah menolak bola muntah yang terhasil dari situasi sepakan percuma pada minit ke-37 bagi menggandakan kelebihan Sri Pahang.

Ad

Derita tuan rumah bertambah apabila Nasrol Amri kemudiannya dibuang padang oleh pengadil selepas melakukan faul profesional terhadap Aguero semasa dia cuba menjaringkan gol. Itu merupakan kad merah keempat yang diterima Perak musim ini dengan keputusan 2-0 kekal sehingga rehat.

Selepas rehat, biarpun bermain dengan 10 orang, Perak berusaha merapatkan jurang gol. Sepakan sudut yang diambil Shafizi Iqmal pada minit ke-55 hampir menembusi gawang Sri Pahang yang dikawal Izham Tarmizi Roslan tetapi percubaannya terkena palang.

Ad

Dalam keghairahan memburu gol kedua, mereka hampir saja dihukum Tok Gajah pada minit ke-61. Kesilapan sepakan yang diambil penjaga gol Perak, Bryan See hampir saja direbut oleh Kpah sebelum ia berjaya dikeluarkan oleh pertahanan The Bos Gaurus.

Ad

Pemain gantian Zuhair Aizat Nazri menyumbat gol ketiga Tok Gajah pada minit ke-74. Zuhair melakukan satu rembatan lencong yang tepat menuju ke penjuru bawah gawang Bryan.

Ad

Di sebalik pelbagai percubaan tuan rumah bagi mendapatkan gol saguhati, pertahanan Sri Pahang diketuai Fadhli Shas kental bertahan bagi memastikan pasukan pelawat pulang dengan tiga mata. Ini merupakan kekalahan kedua Seladang di tangan Tok Gajah selepas tewas kepada lawan sama dalam pusingan pertama Piala FA baru-baru ini.

Keputusan ini membantu Pahang berada di tangga keempat dengan sembilan mata. Manakala Perak kekal di tangga keenam liga dengan lima mata.