Aksi Liga Super pada Selasa menyaksikan Sri Pahang meraih kemenangan besar ke atas Kedah.
Kedua-dua pasukan hadir ke Temerloh dengan misi besar bagi memungut 3 mata tatkala Sri Pahang dan Kedah kini dibelenggu kemelut prestasi tak menentu dalam lima aksi terakhir.
Pengendali Sri Pahang, Fandi Ahmad merehatkan Azam Azih, Manuel Hidalgo serta Zarif Irfan sementara Kedah yang hadir dengan 18 pemain ditunjangi oleh pertahanan tengah, Akmal Zahir.
Turun dengan jersi serba kuning, pasukan Sri Pahang tampak lebih dominan dari segi penguasaan bola sekaligus memaksa pelawat untuk lebih banyak bertahan dan lancarkan serangan balas.
Kubuntuan jaringan akhirnya terlerai pada minit ke-37 apabila Sergio Aguero melepaskan satu tendangan kencang di dalam kotak penalti Kedah untuk meletakkan Sri Pahang di hadapan 1-0.
Gawang Kedah dibolosi sekali lagi pada masa tambahan hasil tandukan Aleksandar Cvetkovic yang melepasi jangkauan penjaga gol, Ifwat Akmal untuk menceriakan penyokong tuan rumah.
Separuh masa pertama tamat, Sri Pahang 2-0 Kedah.
Kembali dari rehat, kemasukan Azam Azih, Manuel Hidalgo dan Adam Nor Azlin dilihat membuahkan hasil apabila tuan rumah lebih selesa memegang bola dan merencana asakan serangan.
Serangan bertali arus berjaya memberikan jaringan ketiga kepada Sri Pahang apabila gerakan solo oleh T. Saravanan disudahkan dengan baik bagi menewaskan Ifwat Akmal di minit ke-60.
Sergio Aguero sekali lagi mengukir nama selaku penjaring untuk pasukan Sri Pahang menerusi sepakan separuh voli setelah menerima umpanan oleh Azam Azih 7 minit selepas itu.
Tidak cukup dengan itu, Kedah terus kecewa apabila dibolosi dengan gol ke-5 setelah pertahanan muda, Safwan Shuhaimi tertampan bola ke gawang sendiri hasil hantaran oleh Mykola Ahapov.
Kapten Sri Pahang, Stefano Brundo memastikan malam yang gemilang untuk skuad Tok Gajah dengan jaringan ke-6 pada minit ke-83 menerusi satu voli deras berpunca dari sepakan sudut.
Aksi di Stadium MP Temerloh berakhir dengan keputusan 6-0 memihak Sri Pahang.
Selepas ini, Kedah akan kembali ke gelanggang sendiri untuk menentang Sabah manakala Sri Pahang akan bertemu Perak di Manjung dengan kedua-dua perlawanan pada 12 April ini.