Liga Super: Sri Pahang Mengamuk Di Darulmakmur
MakanBola
Official Sri Pahang
Sponsors

Sri Pahang bermula dengan langkah kanan dalam aksi pertama Liga Super di Stadium Darulmakmur, apabila berpesta gol membelasah seteru pantai timur, Kelantan 4-1.

Ia kemenangan pertama buat skuad bimbingan Fandi Ahmad yang terikat 1-1 menentang Negeri Sembilan dalam perlawanan pembuka tirai musim baru, pada Ahad lalu.

Ad

Manakala bagi Kelantan pula, mereka mengalami kekalahan kedua berturut-turut selepas terdahulu kecundang 1-2 kepada Kuching City di Kota Bharu.

Ad

Beraksi dalam cuaca hujan turun on-off di Kuantan diiringi sorakan kira-kira 7,000 penyokong setia, Sri Pahang turun dengan taktikal berbeza dan membuat tiga pertukaran di dalam kesebelasan utama.

Zarif Irfan bermula di gawang menggantikan Izham Tarmizi yang cedera, manakala Kevin Ingreso dan kapten pasukan Sergio Aguero mengambil tempat Nicholas Swirad serta David Rowley.

Ad

Kelantan pula membuat empat pertukaran di kesebelasan dengan Nurshamil Abd Ghani dan Shafiq Saharudin digandingkan di depan berikutan ketiadaan Nuha Marong.

Ad

Kedua-dua pasukan kelihatan sedikit bergelut beraksi di padang basah, namun ianya tok gajah yang pantas menyesuaikan diri dan mendahului hanya selepas 11 minit menerusi rembatan Kpah Sherman yang gagal diselamatkan Rozaimi Rahamat.

Ad

Skuad kendalian Chooi Moon Sik ternyata berada dalam jurang yang sangat jauh berbeza, kelihatan agak sukar memberi saingan dengan permainan sedikit huru-hara, selain hantaran dan gerakan yang tidak menjadi.

Situasi itu dimanfaatkan tuan rumah untuk mempamer dominasi penuh dan berjaya menggandakan kelebihan menerusi rembatan cantik dari luar kotak penalti Kevin Ingreso pada minit ke-38.

Lima minit kemudian giliran Sergio Aguero mencetak nama selaku penjaring dan nafsu tok gajah tidak terhenti di situ, apabila menambah gol keempat menerusi penyudah Stefano Brundo.

Separuh masa kedua menyaksikan Sri Pahang memperlahankan rentak permainan dan cuba bermain lebih santai, malah mereka juga mengeluarkan pemain-pemain utama namun situasi itu tetap gagal diambil kesempatan oleh Kelantan.

Hanya pada masa kecederaan, The Red Warriors berjaya mendapatkan gol menerusi Miguel Cifuentes namun ia sudah terlambat untuk menjelmakan kebangkitan.

Kemenangan membolehkan Sri Pahang melonjak ke tangga kelima dengan empat mata, manakala Kelantan menjunam ke tangga tercorot.