Perlawanan saingan Liga Super minggu ke-7 malam ini menyaksikan Terengganu berjaya bangkit menewaskan pasukan pelawat, Negeri Sembilan.
Skuad kendalian Aziz Azzmi turun dengan misi penting untuk mencari kemenangan kedua dalam saingan Liga Super ini.
Manakala, anak buah Tomislav Steinbruckner mahu menggunakan kelebihan di laman sendiri untuk peroleh tiga mata berharga.
Pada minit ke-16 permainan, pasukan pelawat berjaya membuka jaringan menerusi penyerang import, Mika apabila mudah menyempurnakan umpanan daripada Takumi Sasaki.
Dua minit sebelum tamat separuh masa pertama, kapten Terengganu, Safawi Rasid menyamakan kedudukan menerusi sepakan percuma dari luar kotak menewaskan penjaga gol Negeri Sembilan, Aqil Razak.
Separuh masa kedua bermula, Tomislav Steinbruckner membawa keluar Akram Mahinan dan Nik Sharif Haseffey menggantikan Nurillo Tukhtasinov dan Chukwu Chijioke.
Pertukaran itu membuahkan hasil apabila, Chukwu Chijioke berjaya menjaringkan gol kedua buat Terengganu menerusi tandukan selepas menerima hantaran daripada Akhyar Rashid pada minit 49 permainan.
Selang lima minit permainan, Negeri Sembilan pula menyamakan kedudukan menerusi Jacque Faye selepas kealpaan pertahanan Terengganu.
Pada minit ke-59 permainan, Terengganu kembali dihadapan menerusi Akhyar Rashid yang berjaya membuat rembatan deras kaki kiri menewaskan penjaga gol Negeri Sembilan.
Empat minit masa tambahan tidak mampu mengubah keputusan perlawanan. Terengganu 3-2 Negeri Sembilan.
Terengganu ketika ini berada di tangga ke-3 Liga sementara Negeri Sembilan jatuh kedudukan tercorot dalam Liga.