Terengganu FC terus melebarkan rekod kemenangan mereka dalam semua kejohanan kepada lima perlawanan selepas mengatasi cabaran Kuching City FC di Stadium Negeri Kuching hari ini.
Dengan jurulatih Tomislav Steinbruckner masih lagi bercuti, tugas membimbing skuad Peteh digalas pembantunya, Ivica Vranjes. Vranjes pastinya mahu menambah satu lagi kemenangan selepas mereka membelasah pasukan Pantai Timur, Kelantan 8-0.
Begitupun, tuan rumah kelihatan lebih tersusun pada babak pertama terima kasih kepada sentuhan jurulatih baru mereka dari Singapura, Aidil Sharin Sahak. Ini memaksa pelawat menunggu sehingga minit ke-42 untuk membuka tirai jaringan.
Shahrul Nizam Ros Hasni melepaskan satu rembatan jarak jauh dari luar kotak penalti yang menewaskan penjaga gol Il Gatto, Shaiful Wazizi Mohammad.
Bersambung pada babak kedua, Terengganu terus menggandakan asakan. Usaha mereka berhasil apabila Engku Nur Shakir Engku Yacob mudah menanduk bola sepakan sudut menewaskan Wazizi pada minit ke-55.
Il Gatto berusaha mencari gol untuk menembusi gawang skuad Penyu yang dikawal Suhaimi Husin tetapi tidak berhasil. Keputusan 2-0 kekal sehingga tamat perlawanan.
Kemenangan ini memperkukuh kedudukan enam teratas Terengganu kepada 35 mata. Sementara Kuching City pula terus terperosok di tangga tercorot liga.
Dengan kalendar antarabangsa FIFA bakal menjelang, Aidil berharap dapat menggunakan tempoh tersebut untuk memantapkan Il Gatto. Sementara Penyu pula bakal mempersiapkan diri untuk cabaran Piala AFC buat kali ketiga.