Finalis Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2), Lion City Sailors (LCS) dilaporkan mahu mendapatkan khidmat kapten Selangor FC, Safuwan Baharudin.
Sebelum ini, satu hantaran media sosial bek tengah berusia 33 tahun itu memberi bayangan bahawa musim 2024/25 bakal menjadi musim terakhir beliau bersama Selangor.
Ini ditambah dengan khabar angin perpindahan terbaru membabitkan Safuwan yang dikongsikan wartawan sukan The Star, T. Avineshwaran.
Avineshwaran memaklumkan LCS antara kelab yang dikhabarkan mahu mendapatkan beliau untuk kempen musim 2025/26.
Meskipun begitu, The Sailors dijangka berdepan saingan beberapa kelab dari Thailand untuk mendapatkan khidmat Safuwan.
“Kapten Selangor dan pemain serba boleh, Safuwan, mungkin akan berhijrah dalam jendela perpindahan akan datang.
“Difahamkan bahawa Lion City Sailors sedang memantau pemain Singapura itu, manakala beberapa kelab dari Thailand juga telah menyatakan minat terhadap khidmatnya,” katanya di X.
Apabila diminta mengulas khabar angin perpindahan yang timbul, Safuwan memilih untuk mengunci mulut.
“Saya rasa dalam beberapa hari seterusnya, kita mungkin akan bagi pengesahan. Tapi buat masa sekarang, saya lebih berkemungkinan untuk kekal (bersama Selangor),” katanya kepada wartawan Astro Arena, Fina Nasrom.
“Itu bergantung kepada apa tawaran kelab kepada saya. Tapi saya fikir, kita akan lihat (apa yang berlaku). Apa saja boleh berlaku.
“Tapi untuk pengesahan yang lebih jelas, kelab berkemungkinan akan membuat tawaran kepada saya dalam beberapa hari seterusnya.”
Sepanjang bersama Selangor, beliau telah membantu kelab itu muncul juara MFL Challenge Cup dan naib juara Piala FA.
Selain Selangor, Safuwan juga pernah beraksi untuk Sri Pahang FC, Negeri Sembilan FC, PDRM FC, Young Lions, LionsXII dan Melbourne City.