Lion City Sailors (LCS) menggesa Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) untuk mengekalkan final Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) di Singapura.
Gesaan itu dibuat selepas lawan LCS di final ACL2, Sharjah FC memohon final kejohanan itu tidak diadakan di Stadium Jalan Besar.
Ini kerana kelab itu berpandangan stadium tersebut tidak sesuai sebagai venue final atas alasan berkapasiti kecil dan menggunakan padang tiruan.
Sharjah memohon AFC memberi pertimbangan tentang hal tersebut dengan mengambil kira semua aspek dan pasukan yang bertanding dalam soal pemilihan venue final ACL2.
Susulan kenyataan yang dibuat Sharjah baru-baru ini, pengurusan The Sailors membidas kenyataan kelab Emiriah Arab Bersatu (UAE) itu.
Ini kerana Stadium Jalan Besar sudah memenuhi semua syarat yang ditetapkan AFC agar dapat menjadi venue perlawanan ACL2.
“Stadium Jalan Besar ialah venue ACL2 yang diiktiraf dan memenuhi semua syarat dan peraturan sepanjang kejohanan dan berjaya menganjurkan enam perlawanan kejohanan di tempat sendiri.
“Stadium ini juga mempunyai sejarah membanggakan sebagai tuan rumah perlawanan-perlawanan bola sepak besar dan sudah terbukti sebagai sebuah venue yang bagus dan boleh diharap,” kata kelab dalam satu kenyataan.
LCS turut menggesa penganjuran final ACL2 dikekalkan di Singapura. Ini kerana penganjuran final kejohanan itu di Singapura bukan saja mendapat sokongan Sport Singapore dan Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS).
Malah, final ACL2 juga dilihat memberi impak besar bukan saja kepada The Sailors tetapi juga bola sepak Singapura amnya.
“Penganjuran final di Singapura bukan saja menjadi penamat kepada kempen ACL2 kami tetapi juga satu detik membanggakan buat bola sepak Singapura di peringkat benua,” tambahnya.
“Atas semangat kesaksamaan dan konsisten, kami menggesa AFC membenarkan kami bermain perlawanan bersejarah ini di tempat sendiri.
“Kami percaya dengan menganjurkan perlawanan bertaraf tinggi itu di gelanggang kami sendiri, ia akan menaikkan semangat penggiat bola sepak tempatan dan menyuntik rasa bangga pada sukan berkenaan.”
Sekiranya final ACL2 tidak dapat diadakan di Stadium Jalan Besar, stadium alternatif ialah Stadium Bishan.
Stadium Bishan memiliki kapasiti 6,000 tempat duduk dan menggunakan padang rumput asli. Satu lagi stadium iaitu Stadium Nasional Singapura tidak boleh digunakan sebagai stadium alternatif.
Ini kerana stadium tersebut bakal digunakan untuk konsert penyanyi antarabangsa, Lady Gaga pada 18 Mei.
LCS mara ke final selepas menyingkirkan wakil Australia, Sydney FC di peringkat separuh akhir.