Lion City Sailors (LCS) muncul juara Singapore Premier League (SPL) musim 2024/25.
Kejayaan itu dicapai dengan meraih kemenangan tipis 1-0 ke atas Tanjong Pagar United pada 10 Mei lalu.
Kemenangan tersebut memastikan anak buah Aleksandar Rankovic mengumpul 71 mata. Ini sekaligus memastikan BG Tampines Rovers tidak dapat mengejar LCS dengan baki dua perlawanan.
Gol tunggal Maxime Lestienne pada separuh masa kedua memastikan gelaran juara liga milik LCS buat kali pertama sejak musim 2021.
Rankovic mengakui apabila LCS bergelar juara, ia merupakan satu kelegaan buat beliau dan anak buahnya.
Ini kerana kejayaan ini akan membantu mereka fokus terutama menjelang aksi final Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) menentang Sharjah FC pada 18 Mei ini.
“Ia satu perlawanan yang sukar terutama bila anda bermain untuk merebut kejuaraan, anda akan jadi gementar.
“Tetapi kita memiliki pasukan yang kuat dari segi perwatakan di mana kita boleh bangkit semula dan mendapatkan kemenangan,” katanya seperti dilaporkan The Straits Times.
LCS berpeluang meraih tiga trofi untuk musim 2024/25. Selain bergelar juara SPL, mereka berpeluang meraih trofi ACL2 pada 18 Mei ini.
Selain itu, LCS juga perlu mengharungi aksi separuh akhir Singapore Cup dengan wakil Brunei, Brunei DPMM pada 21 dan 27 Mei ini.