Bekas juara Liga Juara-Juara AFC (ACL), Yokohama F. Marinos bakal menguji kekuatan Liverpool dalam aksi jelajah pra-musim 2025/26 di Jepun.
Ini selepas pengurusan J.League mengumumkan aksi pra-musim berkenaan di platform media sosial rasmi liga berkenaan.
“J.League bakal menjadi tuan rumah Meiji Yasuda J.League World Challenge 2025 pada Rabu, 30 Julai 2025.
“Yokohama F. Marinos bakal menentang pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) ketika ini, Liverpool FC di Stadium Nissan,” kata badan liga itu dalam satu kenyataan.
Pengumuman ini sekaligus mendedahkan kempen pra-musim Liverpool di benua Asia menjelang musim 2025/26.
Sebelum ini, The Reds bakal berdepan kelab gergasi Serie A, A.C Milan dalam aksi pra-musim di Stadium Kai Tak, Hong Kong pada 26 Julai.
Marinos bukan saja merupakan juara J1 League sebanyak lima kali. Malah, pasukan itu juga pernah bergelar juara ACL sebanyak dua kali.
Marinos ketika ini dibimbing bekas jurulatih England dan Chelsea, Steve Holland. Antara pemain yang mewakili pasukan tersebut ialah bekas pemain Arsenal, Ryo Miyachi dan tonggak pertahanan Indonesia, Sandy Walsh.
Liverpool mengikut jejak beberapa pasukan EPL yang mengumumkan jelajah pasca-musim atau pra-musim di Asia. Antara yang berbuat demikian ialah Manchester United dan Arsenal.