Pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool dikhabarkan sedang menyediakan tawaran buat bintang Wolverhampton Wanderers (Wolves), Hwang Hwee-chan.
Ianya bukanlah satu tugas yang mudah buat Liverpool apabila perlu bersaingan dengan Tottenham Hotspur untuk mendapatkan khidmat penyerang Korea Selatan itu.
Laporan dari Teamtalk mengatakan perpindahan itu tidak mungkin akan berlaku pada jendela perpindahan Januari ini memandangkan Hwee-chan akan mewakili Korea Selatan di Piala Asia 2023 Qatar.
“Perpindahan tidak mungkin berlaku pada bulan ini. Namun begitu, Liverpool dan Spurs sedang bersiap sedia untuk mengemukakan tawaran untuk Hwang pada musim panas, sekiranya pemain itu terus menerus menjaringkan gol.
“Salah satu sebab utama (perpindahan tidak berlaku pada Januari) ialah bekas pemain RB Leipzig itu akan mewakili Korea Selatan bersama Son Heung-min di Piala Asia, yang berlangsung dari 12 Januari hingga 10 Februari,” lapor Teamtalk.
Jika perpindahan Hwee-chan ke Liverpool menjadi kenyataan, Wolves mungkin boleh menjangkakan keuntungan yang besar apabila pemain berusia 27 tahun itu masih mempunyai baki kontrak sehingga 2028.
Untuk musim ini, Hwee-chan sudah meledak 10 gol daripada 20 penampilan dalam saingan EPL. Selain EPL, beliau juga berjaya meledak 1 gol untuk saingan Piala Carabao.
Dengan rekod cemerlang di EPL, aksi Hwee-chan sudah pasti bakal menjadi tumpuan di Piala Asia lebih-lebih lagi beliau akan bergandingan bersama kapten Spurs yang juga kapten skuad kebangsaan Korea Selatan, Son Heung-min.
Korea Selatan yang diletakkan di dalam kumpulan E bersama-sama Jordan, Bahrain dan Malaysia dijangka tidak berdepan masalah besar untuk mara ke pusingan seterusnya.