Liverpool mengesahkan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini apabila membelasah Tottenham Hotspurs.
Pertembungan di Stadium Anfield ini penting buat Liverpool yang hanya memerlukan satu mata sahaja lagi untuk muncul juara musim ini manakala Tottenham berdepan prestasi tak menentu.
Barisan terbaik dipertaruhkan oleh Liverpool dengan Luis Diaz dan Mo Salah mengetuai jentera serangan The Reds sementara Tottenham pula turun tanpa penyerang utama, Son Heung-min.
Pelawat terlebih dahulu memecah kebuntuan jaringan pada minit ke-12 menerusi tandukan Dominic Solanke berpunca daripada tendangan penjuru James Maddison dari sebelah kanan.
Kelebihan itu tidak bertahan lama apabila Luis Diaz berjaya menyamakan kedudukan untuk Liverpool 4 minit kemudian hasil hantaran lolos berkualiti daripada Dominik Szoboszlai.
Gol tersebut menyuntik semangat Liverpool untuk mencetak jaringan tambahan dan akhirnya rembatan deras Alexis Mac Allister terus menerjah ke gawang Tottenham yang dikemudi Guglielmo Vicario.
10 minit berselang, giliran Cody Gakpo pula melakar nama sebagai penjaring dengan gol ketiga pasukan The Reds ini hasil percubaan dari dalam kotak penalti bagi ceriakan kem tuan rumah.
Separuh masa pertama tamat, Liverpool 3-1 Tottenham.
Kembali dari rehat, Liverpoool terus rancak menyerang dan berhasil menjaringkan gol ke-4 menerusi satu siri serangan balas yang disudahkan oleh Mo Salah pada minit ke-63 aksi.
Gawang Tottenham bolos lagi untuk kali ke-5 apabila bek kiri, Destiny Udogie tanpa sengaja tertampan bola ke dalam pintu gol sendiri berselang 6 minit selepas jaringan Mo Salah itu.
Aksi di Stadium Anfield berakhir dengan keputusan 5-1 memihak Liverpool.
Keputusan ini menyaksikan Liverpool kini sah bergelar juara EPL musim ini apabila miliki jurang 15 mata ke atas Arsenal dengan hanya berbaki 4 lagi perlawanan.