Liverpool pantas mendapatkan pengganti Trent Alexander-Arnold untuk kempen musim 2025/26.
Ini selepas wartawan sukan terkenal, Fabrizio Romano mendedahkan The Reds telah mendapatkan bek kanan Belanda, Jeremie Frimpong dengan yuran perpindahan €35 juta (RM167 juta).
Perpindahan ini direalisasikan apabila Liverpool bersedia membayar klausa pelepasan bekas pemain remaja Manchester City itu.
Frimpong dijangka memeterai kontrak selama lima tahun di Anfield. Liverpool turut mengatur ujian perubatan bagi membolehkan mereka memuktamadkan pembelian pertama untuk musim depan.
Frimpong membuat 190 penampilan, 30 gol dan 44 bantuan gol bersama Leverkusen sejak tiba pada 2021.
Beliau bukan saja membantu Die Werkself muncul juara Bundesliga musim 2023/24. Malah, Frimpong turut membantu Leverkusen kekal tanpa kalah dalam liga pada musim sama.
Selain membawa masuk bek kanan berusia 24 tahun itu, Liverpool turut memastikan Conor Bradley kekal di Anfield sehingga 2029.
Kini, fokus pasukan itu dijangka beralih kepada posisi bek kiri pula. Liverpool memburu seorang bek kiri baru sebagai pengganti kepada pemain pertahanan Scotland, Andrew Robertson.
Dua nama berada dalam radar The Reds iaitu Milos Kerkez (Bournemouth) dan Rayan Ait Nouri (Wolverhampton Wanderers).