Purata umur bukanlah menjadi aspek utama dalam membina pasukan berkualiti di pentas berprestij seperti Piala Asia. Tua atau muda, yang terpilih adalah yang terbaik buat pasukan masing-masing.
Namun purata umur sesebuah pasukan sering kali menjadi perhatian para penyokong. Menjelang Piala Asia 2023 Qatar yang bakal bermula pada 13 Januari, Footy Rankings telah berkongsi purata umur pasukan yang bertanding.
Dalam satu hantaran di laman X Footy Rankings, Lubnan merupakan pasukan yang mempunyai purata umur tertua dengan purata umur 29.76 tahun.
Ianya diikuti oleh pasukan Iran dengan purata umur 29.52 tahun dan China menjadi pasukan ketiga tertua dengan purata umur 29.17 tahun.
Pasukan Malaysia kendalian Kim Pan-gon menjadi pasukan keempat tertua dalam kempen Piala Asia kali ini dengan purata umur 28.73 tahun. Natxo Insa menjadi pemain paling berusia buat Malaysia dengan umur mencecah 37 tahun.
Melengkapkan pasukan yang mempunyai purata umur tertua adalah Thailand dengan purata umur 28.34 tahun. Penjaga gol Thailand, Siwarak Tedsungnoen menjadi pemain paling berusia buat Thailand dengan umur 39 tahun.
Penjaga gol Buriram United itu bukan sahaja menjadi pemain tertua buat Thailand malah beliau juga merupakan pemain tertua untuk saingan Piala Asia 2023 ini.
Namun perlu diingatkan umur itu hanyalah sebuah angka. Segala pengalaman akan dicurahkan untuk membantu pasukan masing-masing mencipta kemenangan.