Luqman Hakim Buat Malaysia Tersenyum Semula

Luqman Malaysia Thailand Luqman Hakim Buat Malaysia Tersenyum Semula
FA Malaysia
Nik Faris @nikfalovic
8:53pm 11/09/2023

Aksi sengit melibatkan pertembungan antara skuad Malaysia U23 dan Thailand U23 diserikan dengan khabar baik daripada kem pasukan negara.

Aksi terakhir kumpulan itu bakal menentukan nasib anak didik E. Elavarasan yang kini memiliki tugas penting untuk layak ke pusingan berikutnya.

Sebelum ini, penyokong Malaysia berdebar menantikan perkhabaran penyerang muda negara, Luqman Hakim Shamsudin yang dikesan mengalami kecederaan ketika berdepan Filipina.

Pemain berusia 22 tahun itu dilihat mendapatkan rawatan susulan kesilapan ketika melakukan perebutan bola di udara.

Beliau segera dikeluarkan memasuki babak kedua permainan sekaligus mengundang pelbagai tanda tanya.

Perkara ini bagaimanapun kembali menggembirakan kem negara selepas kelibat Luqman kelihatan ketika sesi latihan semalam.

Menerusi klip yang dikongsikan oleh FAM, gerak-geri penyerang KV Kortrijk ini kelihatan mewarnai sesi latihan pasukan menjelang sesi akhir sebelum berdepan skuad Gajah Perang.

Kehadiran pemain lincah ini sudah pasti memberi tonik tambahan buat Malaysia untuk menebus kehampaan selepas tewas dalam perebutan tempat ke-3 di Piala AFF U23.

Malaysia akan bertemu Thailand pada 12 September 2023 pada jam 9:30 malam di Stadium Chonburi, Thailand.