Kelibat penyerang muda negara, Luqman Hakim Samsudin terus menjadi nadi kepada skuad bawah 23 tahun negara untuk terus mengekalkan rentak cemerlang apabila menjadi watak penting ketika mencatatkan kemenangan ke atas Mongolia sebentar tadi.
Penyerang berusia 19 tahun ini terus membuktikan kebolehan sebenar beliau setelah berkelana di bumi Belgium bersama KVK Kortrijk nyata membuahkan hasil apabila membuatkan barisan pertahanan Mongolia kucar-kadir menerusi tekanan dan gerakan ampuh yang dilakukannya.
Bukan itu sahaja, larian ‘off the ball’ yang dilakukan oleh beliau jelas membuatkan keadaan menjadi kelam-kabut dan para pemain lawan gagal untuk menyekat kemaraan pemain ini untuk melancarkan serangan.
Selain itu, anak jati kelahiran Kelantan ini berupaya untuk meraih beberapa peluang menerusi gerakan menariknya yang berjaya membuka ruang buat pasukan meraih sepakan percuma dalam kawasan 30 meter Mongolia.
Hasilnya, beberapa sepakan percuma telah menguji kemampuan penjaga gol lawan namun nasib tidak menyebelahi pasukan negara yang tidak memperoleh sebarang jaringan tambahan.
Sungguhpun fokus Luqman terarah bagi mendapatkan jaringan, beliau tidak alpa untuk turun membantu pasukan negara yang bermain secara kolektif untuk menyerang dan bertahan secara berpasukan.
Hasilnya, Malaysia masih tidak dibolosi sepanjang dua perlawanan sungguhpun intensiti dan tekanan dalam perlawanan ini lebih tinggi berbanding ketika pertemuan menentang Laos sebelum ini.
Ketika ini, pasukan negara gah memimpin tangga teratas kumpulan J dengan 6 mata selepas mencatat dua kemenangan sambil menanti pertembungan antara Thailand menentang Laos dalam satu lagi pertembungan.