Presiden Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT), Madame Pang menggesa para pemainnya untuk berjuang sehabis baik dalam usaha menyekat Korea Selatan dalam pertemuan pada Khamis.
Beliau percaya pasukannya itu berpeluang untuk melakar kejutan ke atas Korea Selatan meskipun kedudukan ranking di antara kedua-dua pasukan jelas menunjukkan jurang yang besar.
Korea Selatan yang kini dibimbing oleh jurulatih sementara, Hwang Sun-hong diletakkan sebagai pasukan pilihan untuk memenangi aksi ini dengan barisan pemain bintang yang dijangka diturunkan untuk menggempur Thailand.
“Apa sahaja boleh berlaku dalam bola sepak. Jadi Thailand perlu berjuang dan berharap,” katanya dalam satu kenyataan di laman web rasmi FAT.
Tambahnya lagi, kejayaan dahulu seharusnya menjadi suntikan moral buat pemain Thailand agar terus percaya kepada diri sendiri untuk berusaha melakukan keajaiban ke atas pasukan di ranking ke-22 dunia itu.
“Tetapi kita harus bertarung dengan penuh harapan kerana dahulu, saya masih ingat pasukan kebangsaan Thailand B-19 yang diketuai Chanathip (Songkrasin) berjaya menewaskan Korea Selatan 1-0 hasil jaringan Thitiphan (Puangchan) dalam pusingan kelayakan Kejohanan Asia sekitar 12 tahun yang lalu.”
“Saya harap kejutan akan datang lagi, atau sekurang-kurangnya kami akan memenangi satu mata dan itu akan menjadi perkara yang sangat besar,” tambahnya yang sebelum ini menjawat jawatan sebagai pengurus pasukan.
Menurut ketua jurulatih Thailand, Masatada Ishii pula, beliau yakin perancangannya mampu membantu anak-anak buahnya mendapatkan keputusan positif berdepan jaguh Asia itu.
“Saya tidak boleh mendedahkan cara menanganinya. Tetapi seluruh pasukan akan cuba mendapatkan keputusan yang terbaik,” ujar beliau menurut laporan VNexpress.
Thailand kini menduduki tangga kedua Kumpulan C dengan tiga mata, berkongsi mata bersama China tetapi dibezakan dengan perbezaan jaringan yang memihak skuad Gajah Perang itu.
Sementara itu, Korea Selatan memimpin carta kumpulan dengan enam mata setelah memenangi dua perlawanan menentang Singapura dan China, menjaringkan lapan dan tidak melepaskan sebarang gol.
Kedua-dua pasukan akan bertembung dengan aksi pertama bakal berlangsung di Stadium Piala Dunia Seoul pada 21 Mac sebelum aksi kedua dijadualkan lima hari kemudian di Stadium Rajamangala.