Dua gol penyerang Mesir, Mohamed Salah memastikan Liverpool meraih kemenangan pertama tahun 2024 dengan menewaskan Newcastle United 4-2 di Anfield.
Kedua-dua pasukan turun dengan prestasi berbeza. The Reds yang dibimbing Jurgen Klopp masih belum kalah dalam lima perlawanan terakhir semua kejohanan termasuk Piala EFL.
Manakala The Magpies yang dibelenggu masalah kecederaan pula mengalami empat kekalahan berturut-turut termasuk tersingkir di peringkat suku akhir Piala EFL.
Liverpool yang turun sebagai tuan rumah berusaha mencari gol awal pada babak pertama. Pencarian gol mereka diketuai oleh Salah, Darwin Nunez dan Luis Diaz.
The Reds kerap mengatur serangan demi serangan ke atas kubu The Magpies tetapi gagal. Ini disebabkan kecemerlangan penjaga gol Slovakia, Martin Dubravka yang mengawal gawang pelawat.
Salah berpeluang meletakkan Liverpool di hadapan apabila tuan rumah dianugerahkan sepakan penalti. Malangnya, sepakan penalti beliau pada minit ke-22 berjaya diselamatkan bekas penjaga gol Sparta Prague itu.
Liverpool terus menguji ketangkasan Dubravka tetapi kecekapan beliau memastikan keputusan kekal 0-0 sehingga rehat.
Bersambung pada babak kedua, perlawanan semakin rancak dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan bagi mendapatkan gol.
Bagaimanapun, tuan rumah terlebih dahulu meraih gol pendahuluan menerusi Salah pada minit ke-49.
Keceriaan Liverpool tidak bertahan lama apabila peledak Sweden, Alexander Isak meledakkan gol kesembilan beliau musim ini pada minit ke-54.
Ini mendorong Klopp memasukkan Ryan Gravenberch, Cody Gakpo dan Diogo Jota untuk memburu gol tambahan.
Percaturan pengendali Jerman itu berhasil dengan Curtis Jones kembali meletakkan The Reds di hadapan pada minit ke-74. Empat minit kemudian, Salah mencipta bantuan gol buat Gakpo untuk menjaringkan gol keduanya dalam liga musim ini.
Bek tengah Belanda, Sven Botman merapatkan jurang buat Newcastle United menerusi gol pada minit ke-81.
Salah memastikan api perjuangan The Magpies terpadam dengan sepakan penalti menewaskan Dubravka pada minit ke-86. Keputusan ini memastikan Liverpool kekal bertakhta sebagai pendahulu liga dengan 45 mata.
Kombinasi dua gol dan satu bantuan gol sudah cukup buat Sofascore memilih Salah sebagai pemain terbaik perlawanan hari ini.
Kedua-dua pasukan berdepan tugas sukar untuk perlawanan The FA Cup. Liverpool berdepan Arsenal pada awal pagi 8 Januari.
Sementara Newcastle pula berdepan musuh setempat yang beraksi di Liga Kejohanan, Sunderland pada 6 Januari.